Kemas peruntuk RM1 juta bagi pelaksanaan program Pintar Botani

Bernama
Oktober 3, 2022 07:50 MYT
Mahdzir (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Orang Asli (MAPOA) 2022. Turut sama, Ketua Setiausaha Datuk Ramlan Harun (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Sapiah Mohd Nor. -Bernama
IPOH: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program Pintar Botani melibatkan 500 Tabika Kemas di seluruh negara mulai tahun depan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Modul Pintar Botani itu merupakan aktiviti luar bilik darjah yang menerapkan aspek Sains dan Teknologi serta Amalan Gaya Hidup Sihat melalui makanan seimbang dan berkhasiat.
"Program ini adalah aktiviti mengindahkan persekitaran Tabika Kemas dengan mendidik kanak-kanak menanam sayur-sayuran serta pokok buah-buahan dan hasil tuaiannya boleh dimasukkan dalam menu makanan di Tabika Kemas yang disediakan oleh pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan.
"Ini sekali gus menjadi usaha Kemas untuk memastikan kanak-kanak mendapat zat makanan yang seimbang agar tahap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak yang lebih baik selain mereka mendapat pengalaman yang menyeronokkan sepanjang belajar di Tabika Kemas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mahdzir berkata aktiviti di luar bilik darjah menerusi Modul Pintar Botani itu juga akan membantu pembentukan pemikiran kreatif dan sifat bekerjasama dalam kalangan kanak-kanak.
"Program Pintar Botani ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan tanah dan menceriakan kawasan Tabika malah menjadikan persekitaran Tabika Kemas lebih menarik dengan penyediaan landskap serta tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan yang akan ditanam," katanya.
Pada masa yang sama Mahdzir berharap Program Pintar Botani itu mendapat sokongan dan juga kerjasama para ibubapa dan juga penduduk sekitar premis Tabika Kemas.
Katanya penglibatan program Pintar Botani berkonsepkan Keluarga Malaysia melalui penglibatan pelbagai pihak seperti Jawatankuasa Aktiviti Tabika, ibu bapa dan penduduk setempat, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan.
Selain itu, Mahdzir berkata program Pintar Botani juga akan membolehkan Pemaju Masyarakat Tabika Kemas memberi pendedahan asas keusahawanan melalui aktiviti jual beli hasil tanaman.
-- BERNAMA
#Pintar Botani #Mahdzir Khalid #Amalan Gaya Hidup Sihat #Tabika Kemas
;