[KEMAS KINI] Tragedi kepala air Jeram Air Putih: Enam mayat sudah ditemui, empat masih hilang

Nur Fazlizai Ali
Julai 3, 2023 13:56 MYT
Sembilan beranak yang terbabit dalam kejadian itu berusia antara empat hingga 40 tahun. - Gambar/ Bernama
KEMAMAN: Empat lagi mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman ditemui pada Isnin.
Penemuan itu menjadikan enam daripada 10 mangsa tragedi berkenaan telah ditemui, termasuk dua beranak yang ditemui pada Ahad.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kesemua mayat terbabit ditemui dalam sektor A dan B kawasan pencarian.
Tragedi Kepala Air: 163 anggota pelbagai agensi terlibat SAR
BACA: Tragedi kepala air Jeram Air Putih: 'Hanya 6 mayat sekeluarga ditemui, bukan 9' - Polis
BACA: Identiti lapan individu termasuk tujuh sekeluarga dikenal pasti
BACA: Hari kedua operasi SAR disambung, kesan lapan lagi mangsa
Katanya, mayat Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dikesan terapung oleh pasukan pencarian kira-kira jam 11.05 pagi.
Manakala pada jam 11.25 pagi, satu lagi mayat kanak-kanak perempuan dikesan di sektor B kawasan pencarian.
Beliau berkata bagaimanapun identiti mangsa yang lain masih belum disahkan.
"Kita mendapat maklumat telah menemui beberapa mangsa tetapi kita belum kenal pasti... (sebahagian) belum dibawa ke pangkalan manakala ada lagi belum jumpa.
"Pasukan SAR (mencari dan menyelamat) sedang mengesan mangsa yang belum dijumpai," katanya di sini, pada Isnin.
Sembilan beranak yang terbabit dalam kejadian itu ialah bapa, Karim Abdullah, 39, ibu, Azizah Eiyi, 40; selain Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Seorang lagi adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Tengah hari semalam, mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2 km dari tempat kejadian.
Turut ditemui adalah adalah kereta jenis Proton Gen2 dan sebuah motosikal jenis SYM di tempat kejadian dipercayai milik mangsa terbabit.
Susulan penemuan dua mangsa itu, polis melancarkan operasi SAR untuk mengesan semua mangsa yang terlibat.
Polis difahamkan, semua mangsa datang ke kawasan hulu sungai untuk berkelah sebelum dilanda kepala air.
#kepala air #Polis Kemaman #jeram air putih #sembilan beranak maut
;