[KEMAS KINI] COVID-19: 3,198 kes baharu, 27 kematian

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 12, 2022 11:09 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 27 kematian dan 3,198 kes akibat jangkitan COVID-19. - Gambar hiasan REUTERS
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 27 kematian pada Selasa akibat jangkitan COVID-19.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,723 orang daripada hampir 2.78 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Sementara itu, jumlah jangkitan baharu yang dicatatkan pada Rabu pula sebanyak 3,198 kes.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan COVID-19 setakat ini adalah 2,795,233 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada 12 Januari 2022, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 3,198 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,795,233 kes. Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://t.co/aIQttvUkWX Data harian laman COVIDNOW dikemaskini sekaligus selepas tengah malam.

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) January 12, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Daripada 3,198 kes harian itu, 3,159 kes (98.8 peratus) adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2, manakala 39 kes (1.2 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.
Sementara itu kes sembuh yang direkodkan pada Rabu adalah berjumlah 3,200 kes menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 2,723,599.
Daripada jumlah itu, kes import berjumlah 303 kes membabitkan 224 warganegara dan 79 bukan warganegara.
Kes tempatan yang dicatatkan pula adalah 2,895 kes dengan 2,753 adalah warganegara dan 142 bukan warganegara.
Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 215 dengan 105 memerlukan bantuan pernafasan.
Selain itu, lapan kluster baharu juga dikesan dengan jumlah keseluruhan kluster ketika ini adalah 6,184 kluster dengan jumlah kluster aktif pula adalah 179.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #kes baharu