Kemas kini alamat tempat tinggal untuk elak kekeliruan di hari mengundi
Israr Khalid
Januari 20, 2022 11:35 MYT
Januari 20, 2022 11:35 MYT
KUALA LUMPUR: Sebarang pertukaran alamat tempat tinggal perlu dikemaskini segera dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kata mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), G. Manimaran, ini supaya tidak timbul kekeliruan tempat mengundi serta kesulitan lain semasa pilihan raya nanti.
“Sebenarnya perkara itu ada dalam peraturan JPN, seseorang yang telah berpindah ke tempat baharu perlu menukar alamatnya dalam masa 50 hari.
“Kalau tidak diubah, alamat itu akan kekal dan SPR akan membuat ketetapan lokaliti tempat mengundi seseorang itu berdasarkan butiran yang diperoleh daripada JPN.”
Ia termasuk juga kepada kira-kira 5.8 juta pemilih baharu yang telah didaftarkan secara automatik apabila Undi18 diwartakan tempoh hari, di mana SPR memberi tempoh enam bulan hingga 14 Julai untuk pemilih membuat semakan dan bantahan.
Bantahan tersebut adalah untuk membuat pembetulan terhadap kesilapan butiran peribadi yang ada dalam pangkalan data SPR.
Pada masa sama, kata Manimaran, kempen untuk memberi makluman kepada rakyat tentang pelaksanaan inisiatif terbaharu dalam sistem pilihan raya negara ini perlu dipergiatkan.
Ini supaya maklumat itu sampai secara meluas dan mendalam hingga ke rakyat di akar umbi untuk seluruh rakyat Malaysia mengetahui dan menyedari hak serta tanggungjawab mereka sebagai warganegara.
Maka katanya, kini rakyat tiada lagi alasan untuk tidak perlu mengambil tahu tentang hal ehwal negara.
“Sudah dua tahun telah dipinda perlembagaan negeri dan persekutuan (tentang Undi 18 dan pendaftaran automatik), wujud satu klausa kerangka perundangan baharu bahawa kita tidak perlu lagi mendaftar secara fizikal.
“Bermaksud sudah ada satu platform keemasan, platform yang lebih baik, yang lebih selesa untuk kita. Kita cuma perlu periksa dari masa ke masa di platform SPR Semak,” katanya.
Tonton temu bual penuh bersama G. Manimaran dalam program Agenda AWANI dihoskan Nazri Kahar, di sini: