Kemarau punca kebakaran di utara - Bomba Kedah
Astro Awani
Februari 22, 2014 17:34 MYT
Februari 22, 2014 17:34 MYT
Kemarau yang melanda di utara kebelakangan ini telah mengakibatkan kebakaran di beberapa kawasan terbuka seperti lalang, belukar dan tapak pembuangan sampah.
Laporan berkaitan kebakaran ini meningkat disebabkan faktor perubahan cuaca yang tidak menentu serta musim kemarau yang menyebabkan api mudah merebak.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPB) Kedah, Nazri Zakaria, setiap hari anggotanya menerima antara 40 hingga lebih 60 panggilan sehari berkaitan pembakaran terbuka, belukar dan sampah di sekitar kawasan bandaraya alor setar.
Manakala beberapa daerah lain di negeri Kedah turut menerima banyak panggilan berkaitan masalah itu.
Menurut Nazri, antara punca yang menyebabkan kebakaran berlaku adalah kerana sikap manusia yang sengaja membakar sampah dan meninggalkan api sehingga menyebabkan api merebak ke bahagian lain dan turut mengancam rumah penduduk berhampiran.
Selain itu pembuangan puntung rokok sesuka hati juga boleh menyebabkan kebakaran apabila terkena rumput kering serta bahan lain yang mudah terbakar.
Setakat ini, pihak bomba negeri Kedah memaklumkan menerima banyak panggilan yang dibuat dari kawasan Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar yang membabitkan pembakaran terbuka iaitu sebanyak 380 kes membabitkan lalang dan belukar manakala 17 kes membabitkan pembakaran sampah.
Antara kawasan yang paling terdedah dengan pembakaran terbuka adalah di kawasan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pendang yang berlaku sehingga menyebabkan kepulan asap yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalanraya.
Bagaimanapun, tegas Nazri, orang ramai boleh membakar jerami di sekitar kawasan itu asalkan ia tidak mengganggu pengguna jalan raya yang lain kerana ia boleh menyebabkan kemalangan.
Selain itu dalam keadaan kemarau ini banyak bahan yang boleh menyebabkan kebakaran kerana haba akibat panas terik mudah menyebabkan bahan tertentu terbakar.
“Saya selalu menasihatkan orang ramai terutama sekali penduduk-penduduk kita supaya lebih berhati-hati dalam menangani kebakaran kerana api ni seperti yang kita tau kita menggunakan api untuk hidup… tak ada api kita tak boleh hidup tetapi kalau salah guna, api akan mendatangkan bahaya pada kita terutamanya pada musim panas.
“Seperti yang saya katakan tadi penggunaan bahan-bahan harian eletrik… sebab hari-hari kita main dengan api, tetapi api ni kalau kita jaga ia akan membantu kita namun kalau kita salah jaga dia akan mendatangkan bencana pada kita,” kata Nazri kepada pemberita hari ini.
Tahun lalu, pihak bomba negeri kedah telah menerima sebanyak 806 kes kebakaran membabitkan belukar dan lalang, 20 kes pembakaran hutan, 24 kes pembakaran sampah dan 22 kes pembakaran kebun.
#belukar
#bomba
#faktor cuaca
#kebakaran
#Kedah
#lalang
#musim kemarau
#tapak pembuangan sampah
#Utara