Kemarau: Penternak ikan kelah di Gua Musang kerugian RM36,000
Bernama
April 11, 2016 10:47 MYT
April 11, 2016 10:47 MYT
Seorang penternak ikan kelah mendakwa sudah kerugian RM36,000 akibat kemarau sejak sebulan lalu dan khuatir akan mengalami lebih kerugian jika keadaan cuaca panas kering ini berterusan.
Mat Nawi Hussin, 56, berkata empat kolamnya mengandungi 9,000 ekor ikan kelah sudah kering dan ikan berkenaan sudah dipindahkan ke empat lagi kolam yangmasih mengandungi air.
"Setakat ini 200 ekor ikan kelah mati, dianggarkan kerugian RM36,000 kerana setiap ekor ikan kelah itu yang beratnya satu kilogram boleh dijual RM180 seekor," katanya kepada pemberita di Kampung Lepan Jaya di sini, semalam.
Ikan kelah amat sensitif dan mudah mati dalam keadaan air yang suhunya panas, katanya dan menurutnya beliau turut menternak 13,000 ekor ikan patin dan 5,000 ekor ikan tilapia.
Beliau yang menternak ikan sejak 28 tahun lalu, kini bergantung pada sumber air hujan dan air parit berdekatan untuk ternakannya.
Katanya ikan yang diternak mendapat pasaran baik di negeri ini, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.