Kemarau: PBAPP mohon operasi pembenihan awan di kawasan Utara diteruskan
Bernama
Januari 29, 2020 17:42 MYT
Januari 29, 2020 17:42 MYT
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memohon supaya operasi pembenihan awan di kawasan utara dapat diteruskan semasa musim kemarau memandangkan paras air Sungai Muda di Kedah dan kapasiti efektif dua empangan utama di Pulau Pinang - Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang - masih menunjukkan penurunan.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa berkata walaupun pembenihan awan telah dilaksanakan sebelum ini, namun hujan masih di tahap minimum di kawasan Utara.
Beliau berkata sehingga semalam, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang masing-masing berada pada paras 56.2 peratus dan 38.1 peratus manakala paras air Sungai Muda turun kepada 1.46 meter setakat semalam, iaitu di bawah ambang amaran 1.80 meter sejak 1 Jan. (Paras normal bagi Sungai Muda adalah 2.0 meter dan ke atas).
"Sehubungan itu, operasi pembenihan awan untuk Kedah dan Pulau Pinang mesti diteruskan semasa musim kemarau ini, untuk mencetuskan hujan sebanyak mungkin bagi mengekalkan atau meningkatkan kapasiti efektif empangan di kedua-dua negeri.
"Operasi pembenihan awan ini penting untuk menghasilkan kesan serta-merta, serta mengurangkan risiko kemarau yang berpanjangan. Walaupun musim monsun barat daya dijangka pada bulan April 2020, tarikh ketibaan sebenarnya dan jumlah hujan yang akan dibawa, tidak dapat dipastikan dengan tepat pada masa ini," katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu.
Berikutan situasi semasa itu, Jaseni berkata PBAPP memulakan lima langkah proaktif untuk memastikan bekalan air yang mencukupi sehingga hujan tiba pada April.
Beliau berkata antara langkah proaktif yang diambil termasuk meminimumkan pelepasan dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang untuk memanjangkan 'jangka hayat' simpanan strategik kemarau di negeri ini, mengoptimumkan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) terbesar Pulau Pinang, LRA Sungai Dua dan memohon meneruskan operasi pembenihan awan.
"Purata pengeluaran air terawat dari LRA Sungai Dua adalah 950 juta liter sehari (MLD) sejak 1 Jan. Langkah ini bagi memastikan tiada isu bekalan di Pulau Pinang walaupun pelepasan dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang diminimumkan. Selain itu, PBAPP turut membuat pelepasan strategik dari Empangan Mengkuang dengan melepaskan antara 50 MLD dan 100 MLD sejak 8 Jan lepas.
"PBAPP telah memulakan inisiatif pengurusan tekanan untuk menyederhanakan penggunaan air di seluruh Pulau Pinang pada waktu puncak. Jika ada peningkatan mendadak dalam penggunaan air, beberapa kawasan pinggir bandar yang terletak di kawasan yang lebih tinggi mungkin mengalami tekanan air rendah. Bagaimanapun, setiap pengguna air berdaftar di Pulau Pinang akan terus menerima bekalan air," jelasnya.
Dalam pada itu, Jaseni memohon agar semua rakyat Pulau Pinang memahami dan menyokong usaha penjimatan air dan menggunakannya secara berhemah untuk tempoh dua hingga tiga bulan ini.
"Walaupun Pulau Pinang tidak berada dalam keadaan bahaya catuan air, kita tidak boleh berpuas hati. Kita harus proaktif untuk mengelakkan catuan air walau apa keadaan sekali pun," katanya.
-- BERNAMA
#Kedah
#kemarau
#musim panas
#negeri utara malaysia
#paras air sungai muda
#PBAPP
#pembenihan awan
#Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang
#Perlis
#pulau pinang