Kemarau jejaskan hasil padi Kelantan tahun ini - Mohamad
Bernama
Ogos 12, 2024 19:20 MYT
Ogos 12, 2024 19:20 MYT
GUA MUSANG: Kemarau yang berterusan telah menjejaskan pengeluaran hasil padi di Kelantan tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah melaksanakan langkah pembenihan awan di rumah pam air di Kemubu dan Empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Salor Pasir Mas, namun langkah itu tidak berhasil.
"Masalah kemarau di Kelantan begitu ketara, hujan turun di Kuala Lumpur tetapi tidak turun di kawasan yang diperlukan. Kita cuba buat pembenihan awan dan mendalamkan kawasan pam air di empangan Kemubu itu bagi menyelesaikan perkara ini.
"Untuk langkah jangka panjang kita kena keluarkan belanja yang besar untuk pengairan terutama di kawasan Kemubu dan KADA," katanya ketika ditemui pemberita pada program Libat Urus KPKM bersama pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan Gua Musang di sini hari ini.
Mohamad berkata meskipun begitu, setakat ini bekalan beras dalam negara masih pada tahap mencukupi.
Pada Jun lepas, KPKM memberi jaminan bekalan beras sebagai makanan ruji masih mencukupi dalam pasaran bagi memenuhi keperluan rakyat negara ini.
KPKM dalam kenyataannya memaklumkan kedudukan semasa stok beras negara setakat 18 Jun lepas adalah sebanyak 1,128,165 tan metrik mencukupi bagi tempoh lima ke enam bulan keperluan negara.
Pengerusi KADA Muhammad Husain sebelum ini dilapor berkata KADA merupakan kawasan jelapang padi kedua terbesar negara, namun hasil tanamannya masih ketinggalan iaitu purata 4.1 tan metrik sehektar berbanding jelapang barat laut Selangor dengan 4.32 tan metrik, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (4.24 tan metrik) dan Pulau Pinang (5.05 tan metrik).
-- BERNAMA