Kemarau beri rezeki berganda buat penggali telaga tiub di Kelantan
Bernama
Mei 15, 2023 05:48 MYT
Mei 15, 2023 05:48 MYT
KOTA BHARU: Masalah mendapatkan bekalan air bersih yang semakin kritikal di Kelantan terutama pada musim kemarau ini membuka peluang kepada pengusaha perkhidmatan membina telaga tiub di negeri ini meraih pendapatan lumayan.
Mohd Jamil Yaakob, 34, yang lebih popular dengan nama Raja Air Boring berkata permintaan orang ramai terhadap perkhidmatan yang ditawarkannya meningkat secara luar biasa sejak beberapa bulan lepas.
"Tahun ini permintaan terhadap perkhidmatan penggalian telaga tiub sangat memberangsangkan sehingga kami tidak menang tangan untuk memenuhi kehendak pelanggan.
"Purata pendapatan kami setakat ini melebihi RM10,000 sehari bagi tiga pemasangan telaga tiub bergantung kepada kedalaman dan struktur tanah di lokasi pembinaan," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Berikutan permintaan yang semakin meningkat, Mohd Jamil yang memulakan kerjayanya sejak tiga tahun lepas itu telah menambah jumlah pekerjanya kepada 11 orang berbanding dua pekerja sebelum ini.
"Ketika mula-mula bekerja sebagai penggali telaga tiub, saya turun padang sendiri dibantu seorang pekerja dan semua kerja dilakukan secara manual dan memenatkan.
"Selepas sebulan bekerja saya berjaya membeli mesin penggali elektrik yang sangat membantu memudahkan kerja penggalian dan kini saya telah memiliki tujuh mesin pelbagai fungsi yang melancarkan operasi penyediaan telaga tiub," katanya.
Mohd Jamil berkata dengan pertambahan pekerja, beliau kini mampu menerima lebih banyak tempahan termasuk dari sekolah, masjid dan ladang tanaman dengan bayaran perkhidmatan mencecah RM30,000.
Katanya, dalam keadaan tertentu beliau bersama pekerjanya turut menjalankan kerja-kerja penggalian telaga tiub pada waktu malam memandangkan permintaan yang sangat menggalakkan.
"Ia termasuk keperluan sebuah sekolah agama di Pasir Mas yang terpaksa ditutup selama dua hari kerana tiada bekalan air selain memenuhi keperluan beberapa masjid," katanya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam Univesiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata minatnya terhadap bidang perkhidmatan yang diceburinya ketika ini tercetus ketika beliau bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat penapisan air terkemuka di negeri ini.
Katanya, sepanjang mengendalikan pelanggan, beliau mendapati ramai yang mengadu berdepan masalah mendapatkan air bersih bagi memasang penapis air di kediaman masing-masing.
Bermula dari situ, beliau melihat perkhidmatan penyediaan air bersih mempunyai prospek yang amat besar untuk diusahakan menyebabkan beliau nekad berhenti kerja walaupun ketika itu pendapatannya sangat lumayan.
"Alhamdulillah keputusan saya itu sangat tepat dan saya anggap ia 'jack pot' dalam kehidupan saya apabila dalam masa tiga tahun saya sudah mampu memiliki tujuh mesin penggali dengan pendapatan yang sangat lumayan," katanya.
Beliau yang memiliki Diploma Sains dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata selain khidmat menggali telaga tiub, beliau turut menyediakan perkhidmatan penapis khas air boring rekaannya sendiri sebagai satu lagi pendapatan tambahannya.
Dalam pada itu, Mohd Jamil yang menetap di Kampung Jelatok Tanah Merah itu memberitahu perkhidmatan yang ditawarkannya itu bukan hanya mendapat tempahan daripada penduduk di seluruh Kelantan tetapi juga di negeri lain termasuk Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu.
"Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan menambah jumlah pekerja dan mesin penggali bagi mengembangkan empayar perniagaan saya dalam bidang penyediaan air bersih," katanya.
Kelantan berdepan masalah bekalan air bersih kritikal sejak beberapa bulan lepas sehingga memaksa kebanyakan rakyat negeri itu membina telaga tiub di kediaman masing-masing.
-- BERNAMA