Kemarau: Bekalan air di Lembah Klang mampu bertahan 8 bulan - LUAS
Bernama
Jun 2, 2022 05:12 MYT
Jun 2, 2022 05:12 MYT
SHAH ALAM: Bekalan air di Lembah Klang mencukupi dan mampu bertahan selama lapan bulan sekiranya kemarau berlaku di kawasan itu, yang dijangka pada 2025.
Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari berkata bekalan akan diperoleh melalui tiga kaedah seperti menerusi empangan, kolam takungan dan air bawah tanah yang masing-masing boleh menampung penggunaan selama dua hingga empat bulan.
Beliau berkata berdasarkan tiga kaedah itu, ia mampu menyediakan bekalan air sebanyak 5,000 juta liter sehari yang bersamaan dengan jumlah pengeluaran semasa.
"Kita perlukan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak supaya terus menjaga kualiti air dengan mengelakkan sebarang insiden pencemaran," katanya kepada pemberita pada majlis Hi-Tea bersama pengamal media di I-City semalam.
Hasrolnizam juga berkata pembenihan awan adalah kaedah terakhir yang akan digunakan oleh pihaknya.
Beliau berkata Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Ogos depan namun ia tertakluk kepada kerajaan negeri.
"Kos atau bayaran bagi ZDP ini masih dalam sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta kilang manakala bayaran yang dikenakan akan diguna semula bagi tujuan pemuliharaan persekitaran termasuk sungai, parit dan muara," katanya.
-- BERNAMA