Kemangkatan Sultan Perak satu kehilangan buat rakyat Malaysia
Bernama
Mei 28, 2014 22:46 MYT
Mei 28, 2014 22:46 MYT
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menyifatkan kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini merupakan satu kehilangan besar buat rakyat Perak dan rakyat jelata seluruh negara.
Beliau mewakili kerajaan dan rakyat Kedah merafak sembah takziah terhadap seluruh kerabat diraja Perak di atas kemangkatan Sultan Perak.
"Baginda adalah seorang yang penyayang, berhemah tinggi dan sentiasa mengambil berat terhadap kebajìkan rakyat khususnya rakyat Negerì Perak Darul Ridzuan.
"Semoga Allah Subhanahu Wataala mencucuri rahmat ke atas Paduka Seri Sultan dan menempatkan roh baginda bersama golongan solihin," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan kemangkatan Sultan Azlah Shah menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada pukul 3.40 petang tadi.
Baginda mangkat pada 1.30 tengah hari dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Almarhum berusia 86 tahun.
Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.
Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merafak takziah kepada kerabat diraja Perak di atas kemangkatan Sultan Azlan Shah.
"Sembah takziah atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izuddin Shah.
"Al-Fatihah," kata Menteri Besar menerusi Twitter beliau di sini, hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menzahirkan rasa dukacita di atas berita kemangkatan Sultan Azlan Shah tengah hari tadi.
"Turut berdukacita di atas berita kemangkatan DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah. Takziah buat sekalian kerabat dan rakyat negeri Perak. Al-Fatihah," katanya dalam laman sosial Facebook miliknya.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga bersedih dengan berita kemangkatan Sultan Perak, yang terkenal dengan gelaran Bapa Hoki Malaysia.
"Dapat berita kemangkatan KDYMM Tuanku Sultan Azlan Shah. Raja penuh falsafah zaman kita. Al Fatihah," katanya dalam Twitter beliau.
Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut merafak takziah di atas kemangkatan Sultan Azlan Shah.
"Sembah takziah atas kemangkatan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Al Fatihah, semoga roh baginda dicucuri rahmat," katanya dalam laman Facebook.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel yang juga Presiden MIC juga merafak takziah di atas kemangkatan baginda.
"Takziah diucapkan kepada Kerabat Diraja Perak atas Kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah," katanya dalam laman Facebook.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata kesemua anggota MCA menyembah takziah di atas kemangkatan Sultan Azlan Shah.
"Seluruh ahli MCA menyembah takziah keatas kemangkatan DYMM Al-Marhum Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah, Sultan Perak," katanya dalam laman Facebook beliau.