Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah satu kehilangan besar buat UMP
Astro Awani
Mei 23, 2019 08:05 MYT
Mei 23, 2019 08:05 MYT
Kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah amat dirasai rakyat di negeri Pahang khususnya buat warga Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, Almarhum Paduka merupakan seorang Raja, pembina dan jurutera yang membawa nikmat pembangunan dan kemajuan yang amat bernilai kepada negeri Pahang Darul Makmur.
“Pelbagai projek pembangunan pendidikan rancak berjalan di bawah naungan Almarhum Paduka termasuklah kampus tetap UMP yang menyempurnakan peletakan batu asasnya pada 2 November 2002 dan pembangunan kampus tetap di Kuala Pahang, Pekan yang kini menjadi mercu tanda sebagai salah satu universiti teknologi terunggul bertaraf Dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Mewakili seluruh warga UMP, beliau menzahirkan ucapan sembah takziah kepada seluruh keluarga Kerabat Di-Raja Pahang atas kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah. Seluruh warga UMP amat berdukacita dan sedih di atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah yang sesungguhnya sebagai suatu kehilangan yang amat dirasai buat warga UMP.
Almarhum Paduka banyak menyumbang terhadap pembangunan universiti ini dan sebagai menghargai jasa dalam merintis usaha pembangunan dan kemajuan negeri Pahang, Almarhum Paduka telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Awam pada Majlis Konvokesyen Komemoratif & Majlis Konvokesyen Ke-4 UMP pada tahun 2009.
Selain itu juga, UMP telah menerbitkan buku The Ruler, The Builder, The Engineer sebagai menghargai Almarhum Paduka dalam bidang Kejuruteraan Awam sebagai satu hubung kait yang tidak dapat dipisahkan apatah lagi dengan sifat seorang pemerintah yang sangat prihatin terhadap pembangunan Negeri Pahang dalam melihat negeri ini maju dan makmur untuk dinikmati oleh rakyat jelata.
#Almarhum
#kemangkatan
#Malaysia
#Naib Canselor UMP
#Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah
#Pahang
#Wan Azhar Wan Yusoff