Kemampuan berbahasa selain bahasa ibunda buka pintu kepada pelbagai peluang - Anas Zubedy
Israr Khalid
Mac 31, 2022 12:07 MYT
Mac 31, 2022 12:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kebolehan untuk bertutur lebih daripada satu bahasa selain bahasa ibunda adalah kunci yang akan membuka pintu kepada pelbagai peluang untuk mengembangkan potensi diri dalam pelbagai lapangan.
Kata Pensyarah Adjung Taylor’s University, Anas Zubedy, kegagalan untuk berbahasa Inggeris dengan baik khususnya akan hanya menjadi penghalang untuk seseorang itu bergerak lebih jauh terutamanya dalam alam pekerjaan.
Jelas Anas, penting untuk seseorang itu memartabatkan bahasa ibundanya dan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun keengganan untuk belajar bahasa lain adalah sesuatu yang tidak baik.
“Contohnya di Malaysia ini kalau tak silap Anas hanya 10 peratus pekerjaan di sektor awam, mungkin lagi lima peratus itu di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 85 peratus lagi pekerjaan-pekerjaan yang ada adalah di luar sektor awam dan GLC. Apakah bahasa yang digunakan oleh syarikat-syarikat ini?
“Kita lihat kalau seseorang itu pergi temuduga, kalau dia tak reti berbahasa Inggeris atau bahasa Mandarin, dia mungkin akan kalah.”
Ujarnya, antara resepi untuk berjaya dalam syarikat-syarikat korporat adalah penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa negara asal syarikat terbabit.
Beliau memberi contoh iaitu menjadi satu kelebihan buat seseorang yang bekerja dengan syarikat Samsung untuk boleh bertutur atau lebih baik menguasai bahasa Korea untuk membolehkannya naik lebih cepat dalam hierarki syarikat.
“Kalau Anas masuk Samsung masa berumur 23 atau 24, kalau nak betul-betul bekerja dengan Samsung dan naik ke atas, Anas akan belajar bahasa Korea supaya kalau bos-bos daripada Korea datang, Anas boleh cakap dengan dia dalam bahasa Korea.
“Mereka akan terus nampak kita, berusaha untuk belajar bahasa Korea jadi nanti mereka akan bawa kita ke Korea dan beri kita lebih peluang.
“Samalah juga macam kita kalau orang putih atau orang Jepun datang dan pandai berbahasa Melayu, kita pun suka pada mereka.”
Tonton temu bual penuh bersama Anas dalam program Agenda AWANI yang dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini: