Kemaman dilanda banjir
Sinar Harian
Januari 12, 2025 09:45 MYT
Januari 12, 2025 09:45 MYT
KEMAMAN: Hujan lebat berterusan sejak Jumaat menyebabkan kawasan di Kemaman dilanda banjir dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah tersebut.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 16 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Geliga Pantai.
PPS tersebut diaktifkan bermula jam 9 malam tadi bagi menempatkan kesemua mangsa yang terjejas.
Difahamkan, pasukan penyelamat antaranya Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berusaha membantu memindahkan mangsa banjir ke lokasi selamat.
Sehingga jam 8 pagi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu merekodkan sebuah sungai di paras bahaya iaitu daerah Besut melibatkan Sungai Besut di Jambatan Keruak. - Sinar Harian