Kemalangan tren: Liow minta polis siasat jika wujud unsur jenayah

Harits Asyraf Hasnan
Mei 21, 2016 15:06 MYT
Pemandu tren penumpang dan ETS terbabit secara jelas cuai menjalankan tugas apabila gagal mengaktifkan sistem kawalan automatik, kata Liow. -Gambar fail
Kementerian Pengangkutan meminta polis menyiasat sekiranya wujud unsur jenayah dalam kemalangan melibatkan dua tren milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang berlanggar di Batang Kali, 7 Mei lalu.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemandu tren penumpang dan tren elektrik (ETS) terbabit secara jelas cuai menjalankan tugas apabila gagal mengaktifkan sistem kawalan automatik.
Selain itu, pihaknya juga telah mengambil tindakan disiplin dengan menggantung tugas kedua-dua pemandu tren terlibat.
"Tren ini mempunyai sistem perlindungan keselamatan automatik dan (kemalangan) ini tidak seharusnya terjadi, sekali gus ia jelas (berlaku disebabkan) kecuaian pemandu tren.
"Kita telah mengambil langkah dengan menggantung tugas mereka selain mengambil tindakan disiplin dan pada masa sama kita merujuk kes ini bagi siasatan jenayah.
"Jadi polis sedang meneliti kes ini sekarang," katanya ketika ditemui media pada sambutan Hari Wesak, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengesyaki pemandu tren tersebut telah mengusik protokol pemanduan berkomputer yang ditetapkan kerana tren ETS sememangnya dilengkapi sistem perlindungan keselamatan automatik.
#ETS #Kementerian Pengangkutan #KTMB #Liow Tiong Lai #sistem kawalan automatik
;