Kemalangan tren di London: Jenazah Aaron dibawa pulang ke Malaysia pada Rabu

Harits Asyraf Hasnan
Januari 30, 2016 10:49 MYT
Muhamad Aaron, 22, pelajar Universiti Middlesex, dilaporkan dilanggar tren bawah tanah (TUBE) di Stesen Marble Arch ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya. - Gambar Fail
Jenazah pelajar Malaysia, Muhamad Aaron Maseri yang meninggal dunia dalam kemalangan tren di London Selasa lalu dijangka tiba di Malaysia Rabu ini.
Menurut abang mangsa, Muhamad Adrien Maseri, jenazah Aaron dijangka diterbangkan pada 2 Februari menggunakan pesawat Malaysia Airlines pada 10.50 pagi waktu London dan dijangka tiba pada 7.30 pagi waktu Malaysia, pada 3 Februari.
"Insya-Allah, kami sekeluarga akan berangkat, mengiringi jenazah bersama-sama dalam penerbangan tersebut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Tambah Adrien, sebaik tiba di tanah air, jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Abdul Samad (Masjid KLIA) bagi melaksanakan solat jenazah.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini bagi upacara pengebumian.
"Semoga perancangan ini akan dipermudahkan. Mohon doa dari semua agar segalanya berjalan dengan lancar," katanya.
Beliau turut mengesahkan segala proses bedah siasat telah selesai dijalankan.
Adrien pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua terutama kepada Datuk Rasidi dan seluruh kakitangan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London yang sentiasa memberi bantuan sejak insiden berlaku.
"Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli keluarga dan rakan taulan yang tidak putus-putus mengirimkan doa buat Allahyarham," katanya.
Dalam kejadian jam 6.26 petang Selasa lalu, Muhamad Aaron, 22, pelajar Universiti Middlesex, dilaporkan dilanggar tren bawah tanah (TUBE) di Stesen Marble Arch ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Mengikut laporan akhbar The Standard, jurucakap Pengangkutan London, berkata mangsa masih hidup sejurus dilanggar namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba bagi merawat mangsa.
#Aaron Maseri #adrien maseri #London #marble arch #middlesex #Pesuruhjaya Tinggi #tren #TUBE
;