Kemalangan: Pemandu bas rentung, enam terselamat
Adie Sufian Zulkefli
Mac 16, 2024 07:10 MYT
Mac 16, 2024 07:10 MYT
GURUN: Seorang pemandu rentung sementara enam lagi selamat selepas bas ekspres dinaiki mereka terbakar dalam nahas dengan sebuah treler di Kilometer 75.2 Lebuh Raya Utara Selatan Arah Utara, di sini, awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.55 pagi itu, mangsa yang maut merupakan lelaki berusia 42 tahun, namun, belum diketahui identiti sebenar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.02 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Awa Suziana Abd Wahid dan dibantu pasukan BBP Aman Jaya serta BBP Pendang tiba di lokasi sejurus selepas itu.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan menerima panggilan kecemasan kebakaran bas.
"PGO Kedah kemudian mengarahkan jentera empat jentera termasuk EMRS ke lokasi kejadian selain bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gurun yang turut dikerah ke lokasi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohd Fauzi berkata, Komander Operasi melaporkan, sebaik tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dengan sebuah treler di situ.
Beliau berkata, bas itu dipercayai terbakar akibat kemalangan itu dan terdapat seorang mangsa iaitu pemandu bas tersepit dan ditemukan rentung.
"Namun enam mangsa lagi termasuk lima dalam bas ekspres dan pemandu treler itu terselamat.
"Pemandu bas yang maut dianggarkan berusia 42 tahun, lima mangsa termasuk penumpang dan pembantu pemandu berusia antara 19 hingga 57 tahun manakala pemandu treler berusia 32 tahun sempat keluar untuk menyelamatkan diri.
"Jumlah keanggotaan yang terbabit dalam operasi itu adalah 18 orang dan maklumat lanjut akan menyusul kemudian.
"Operasi pemadaman lanjut dan pengurusan mangsa di tempat kejadian masih dilakukan," katanya.