Kemalangan melawan arus, polis terima empat laporan
Astro Awani
Mac 15, 2017 13:52 MYT
Mac 15, 2017 13:52 MYT
Polis mengesahkan telah menerima empat laporan polis berhubung kejadian kemalangan melawan arus di Kilometer 132 membabitkan enam buah kenderaan yang mengorbankan satu nyawa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Azmi Adam ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp memberitahu, semua laporan dibuat pemilik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan akibat dilanggar kereta Proton Gen-2 yang dipandu melawan arus oleh seorang remaja kira-kira jam 7.50 pagi Selasa.
Menurut Azmi, empat laporan yang diterima hanya membabitkan kemalangan tiga kereta dan sebuah van yang berlaku di KM120.1 dan 130.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Sungai Dua.
Setakat hari ini, pihaknya tidak menerima laporan daripada pemilik motosikal yang didakwa turut terlibat dalam kemalangan di Plaza Tol Sungai Dua itu.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai sehingga menyebabkan kematian.
Dalam kejadian kira kira jam 7.50 pagi Selasa, pemandu Proton Gen-2 berusia 19 tahun itu dipercayai mabuk dan di bawah pengaruh dadah, hingga memandu secara berbahaya melawan arus dari Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth.
Kenderaan itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kelisa yang menyebabkan ia terbabas ke kiri jalan dan pemandunya maut.
Pada masa sama, kereta Proton Gen-2 itu terbabas dan berpusing lalu melanggar tiga buah kenderaan lain termasuk sebuah van kilang.