Kemalangan maut penuntut USAS: Muhammad Nasron gemar gembirakan semua - Ibu
Astro Awani
Mei 14, 2022 17:12 MYT
Mei 14, 2022 17:12 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perubahan ketara ditunjukkan Allahyarham Muhammad Nasron Aidol Munir Akbar, 23, ketika pulang bercuti bersama keluarga pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Ibu mahasiswa Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Rabu lepas berkata anak kesayangannya itu seorang yang ceria dan sentiasa berusaha menggembirakan hati saudara, jiran dan rakan-rakannya.
Maizatul Akmam Md Tahar berkata pemergian anaknya itu sangat mengejutkan mereka sekeluarga namun tetap reda dengan ketentuan Ilahi yang menjemput anak mereka lebih awal .
Menurutnya kali terakhir mereka berjumpa dengan Allahyarham Muhammad Nasron adalah pada Ahad lepas.
“Setakat dia balik raya hari tu, dua hari sempat di rumah ini. Macam biasa sahaja, tak ada apa-apa perubahan.
“Dia memang dengan muka senyumnya berwajah gembira, menggembirakan orang. Kebetulan sepupu-sepupunya datang dari Johor Bahru.
“Bila sudah selesai semua, jadi hari Sabtu itu dengan program keluarga hari Ahad itu, selepas sepupunya balik dia pun lepas Zohor berangkat balik. Itu lah kali terakhir kami berjumpa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kesedihan juga masih dirasai adik Allahyarham, Muhammad Fikri Aidol Munir Akbar Abdul Aziz yang mengakui sangat rapat dengannya.
“Memang sejak baca berita abang dah tak ada, memang selera makan macam nak tak nak.
“Nak tidur pun macam tak tenang nak tidur tetapi bila dah tengok (jenazah) arwah abang macam kuat sikit lah. Nak kata rapat tu memang rapat lah sebab kalau dulu setiap kali balik kampung dalam kereta mesti akan kita orang gurau-gurau dalam kereta, gelak sama-sama, kadang-kadang gaduh juga,” katanya.
Allahyarham Muhammad Nasron maut dalam satu kemalangan bersama empat rakan serumahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuala Kubu kira-kira pukul 7.55 pagi tadi.
Terdahulu jenazah dibawa ke rumahnya di Taman Desa Bukit Bujang pada pukul 2.07 pagi selepas selesai disembahyangkan di Masjid Permaisuri Bainun, USAS di Kuala Kangsar, Perak, bersama Allahyarham Iqbal Hasnun Halimi, 23, dan Allahyarham Muhamad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19, malam tadi.
Ratusan jemaah terdiri daripada saudara mara yang datang dari Johor dan Perak serta jiran tetangga dengan puluhan kenderaan mengiringi pengebumiannya di jalan Kuala Kubu hari ini.
#penuntut USAS
#Muhammad Nasron Aidol Munir Akbar
#kemalangan Kuala Kangsar
#dilanggar treler
#kebumi
#rentung