Tragedi UiTM Dungun: Seorang lagi mangsa stabil

Nur Fazlizai Ali
Oktober 10, 2024 17:44 MYT
Muhammad Ammar Danish kini ditemani ibu bapa beliau yang baru tiba dari Keramat, Kuala Lumpur pada jam 4 pagi tadi. - Gambar/ Ihsan UiTM
DUNGUN: Seorang lagi penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan tiga rakannya di sini, malam tadi, dilaporkan stabil.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Terengganu Prof Dr Sazili Shahibi, berkata Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, kini menerima rawatan di Hospital Dungun.
Katanya, penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakauanan itu tidak mengalami kecederaan serius.
"Penuntut terbabit telah menerima beberapa jahitan di bahagian badan dan ditempatkan di wad sehingga keadaannya beransur pulih," katanya.
Muhammad Ammar Danish kini ditemani ibu bapa beliau yang baru tiba dari Keramat, Kuala Lumpur pada jam 4 pagi tadi.
Pada Rabu malam, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.
Kemalangan kira-kira jam 7.20 malam itu menyebabkan Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, maut.
#Tragedi UiTM Dungun #Ku adib aizab ku azmi #muhammad akmal md tikirin #Khairil Anwar Jamaludin
;