Kemalangan maut: Orang ramai diminta tampil salur maklumat

Aida Aziz
April 3, 2024 09:30 MYT
Nahas memabitkan van kilang dan treler yang berlaku di Jalan Sungai Labu Atas, Tanjung Piandang pada Selasa. - Foto JBPM Perak
PARIT BUNTAR: Polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan mengakibatkan seorang pemandu van kilang terkorban dan penumpang cedera di Jalan Sungai Labu Atas, Tanjung Piandang, di sini pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan di antara van dan treler itu pada Selasa, jam 6.20 pagi.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dari Parit Buntar ke arah Tanjung Piandang.
"Manakala van kilang yang dipandu lelaki berusia 36 tahun bersama-sama seorang penumpang wanita berusia 28 tahun datang dari arah bertentangan.
"Apabila tiba di tempat kejadian, treler itu telah mengundur untuk memasuki bahu jalan sebelah kanan.
"Tiba-tiba datang van mangsa dari laluan bertentangan telah melanggar treler di tepi sebelah kanan.
"Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu van mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, penumpang wanita itu cedera di muka, tangan serta kaki kanan," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Juna menambah, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Parit Buntar mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘severe head injury due to road traffic collision'.
Sehubungan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Insp. Nitia Ruban a/l David di talian
05-7210539/016-4898618.
Pada Selasa, media melaporkan pemandu maut manakala seorang lagi penumpang cedera apabila van kilang yang dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian itu berlaku sekitar jam 5.45pagi.
#Nahas #van kilang #treler #Orang ramai
;