Kemalangan maut lima sekeluarga: Kereta hilang kawalan bertembung bas ekspres - polis

Astro Awani
Disember 12, 2017 04:37 MYT
Lima sekeluarga terkorban dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan bas ekspres di Km 176 Jalan Johor Bahru-Seremban di Segamat petang Selasa. Foto Jabatan Bomba Johor
Kereta dinaiki enam sekeluarga yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Km 176 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini pada Selasa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat, siasatan awal mendapati kereta Perodua Viva itu berpusing beberapa kali sebelum bertembung dengan bas yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat.
"Ketika kejadian, keadaan lalu lintas tidak sibuk manakala cuaca semasa kemalangan adalah hujan lebat. Bentuk jalan pula berselekoh dan menuruni bukit dari kedua-dua arah," katanya.
Lima daripada mereka maut sementara seorang lagi kritikal susulan kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 petang itu.
Raub berkata, kawasan kemalangan adalah di dua lorong dua hala yang dipisahkan oleh garisan putih berkembar di tengah-tengah jalan.
Empat daripada mereka yang meningggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai pemandu kereta Muhamad Abu Dujanah Dzulkarnain, 30, Zinnirah Abdul Hamid, 28, Nur Maghfirah Muhamad Abu Dujanah, 6, dan Muhammad Abu Ajwad Muhamad Abu Dujanah, 4.
Sementara bayi berusia tiga bulan, Nur Alia Humairah Muhamad Abu Dujanah, meninggal dunia pada 9.25 malam ketika dirawat di Hospital Segamat.
Seorang lagi mangsa, Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 3, sedang dirawat di hospital sama dan keadaannya dilaporkan kritikal.
"Berdasarkan maklumat identiti mangsa yang kami perolehi, Muhammad Abu Ajwad beralamat di Muadzam Shah, Pahang manakala mangsa lain beralamat di Kluang, Johor," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
#bas ekspres #bayi #kemalangan #kereta #maut #meninggal dunia #polis #Segamat
;