Kemalangan maut di Lebuhraya PLUS, bayi tercampak keluar dari kereta
Astro Awani
Januari 10, 2020 09:12 MYT
Januari 10, 2020 09:12 MYT
Empat maut, termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan, selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas jalan raya di Kilometer 448.0 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini, malam tadi.
Sementara itu, seorang lagi cedera parah dalam insiden yang berlaku kira kira jam 12.10 tengah malam itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa'aton Abu Bakar, kereta jenis Proton Satria yang dinaiki lima mangsa itu tiba-tiba berhenti di tengah lebuh raya, dipercayai akibat mengalami kerosakan.
Tiba-tiba datang satu kenderaan SUV dipandu seorang lelaki dari arah sama, yang gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang Proton itu.
"Akibatnya, Satria berkenaan berpusing dan tiga penumpang termasuk bayi perempuan tercampak keluar di tengah jalan.
"Manakala dua daripadanya tersepit. Dua mangsa wanita disahkan maut di lokasi kejadian," katanya.
Shafa'aton berkata, bayi berkenaan dan seorang penumpang wanita meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.
Pemandu lelaki berusia 31 tahun itu cedera parah dan dirawat di zon kritikal, Hospital Sungai Buloh.
Mangsa maut dikenali sebagai Asiah Mat, 74 tahun, Ain Fazira Mohd Yazid, 36 tahun, Ruzi Osman, 55 tahun, serta bayi Nur Tiara Arisha Muhammad Taslim.
#bayi
#cedera
#kemalangan
#kereta
#maut
#meninggal dunia
#Nahas
#PLUS
#polis
#Rawang
#tercampak keluar
#tersepit
#wanita