Kemalangan maut 5 pelajar USAS: Pemandu treler didakwa hari ini

Sinar Harian
Mei 17, 2022 11:10 MYT
Kemalangan melibatkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora mengakibatkan lima pelajar USAS terkorban. -Gambar fail/JBPM
IPOH: Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan tragis hingga mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar minggu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada petang Selasa.
Lelaki berusia 28 tahun itu akan disabitkan atas lima pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kertas siasatan kes itu telah dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan tuduh di mahkamah.
"Pemandu tersebut akan dibawa ke mahkamah petang ini (Selasa) untuk menghadapi lima pertuduhan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Polis sebelum ini telah mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menahan reman pemandu berkenaan selama tujuh hari bermula Khamis lepas bagi membantu siasatan kes.
*Berita asal di Sinar Harian
#Tragedi maut 5 pelajar USAS #Omar Bakhtiar Yaacob #arahan tuduh di mahkamah #nahas treler-kereta
;