Kemalangan landasan: Dua pengawal udara digantung tugas
Azyyati Ahmad
April 19, 2019 16:55 MYT
April 19, 2019 16:55 MYT
Dua pengawal trafik udara (ATC) yang bertugas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang ketika insiden pesawat persendirian melanggar kenderaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), telah digantung tugas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kedua-dua pekerja telah digantung, sementara menunggu siasatan penuh ke atas kejadian yang menyebabkan kematian seorang juruteknik MAHB, 18 Mac lalu.
Loke berkata siasatan awal mendapati, dua kenderaan terdiri daripada sebuah kenderaan pengiring dan sebuah kenderaan penyelenggaraan telah dibenarkan oleh Pengawal Trafik Udara bertugas untuk melalui landasan Laluan 15 bagi kerja-kerja mengecat garisan tengah pada jam 12.05 pagi.
Kemudian, dalam komunikasi terakhir pada jam 2.15 pagi, Loke berkata kerja-kerja penyelenggaraan di landasan telah dicatatkan selesai pada jam 2.15 pagi dan pengawal trafik udara telah dimaklumkan bahawa semua kenderaan telah meninggalkan landasan walaupun terdapat dua kenderaan lain masih lagi berada di landasan melakukan kerja-kerja pengecatan.
Berdasarkan catatan masa di buku log itu, pengawal trafik udara yang mengambil alih tugas pada jam 3 pagi, telah memberi perlepasan sah kepada jet peribadi, milik Berjaya Air yang berlepas dari Jaipur, India untuk mendarat.
“Ketua pekerja kontrak mula menyedari ada pesawat akan membuat pendaratan. Takut kepada bahaya, ketiga-tiga pekerja menaiki kenderaan melarikan diri dari landasan.
“Ketika membuat pusingan 180 darjah, pemandu menyedari kenderaan pengiring masih statik pada kedudukan terakhir. Berdasarkan kenyataan saksi, para pekerja kontrak telah cuba memancar lampu depan kenderaan mereka beberapa kali untuk menarik perhatian kenderaan pengiring.
“Tiada respon yang diberikan kepada kenderaan pengiring dan ketika pesawat semakin dekat dengan mereka, pemandu kontrak memandu kenderaannya keluar dari landasan dan berhenti di Foxtrot Taxiway untuk memberi laluan ke kapal terbang untuk mendarat,” kata Loke.
Penemuan lain juga turut mendapati kerusi pemandu kenderaan MAHB yang terlibat dalam kemalangan itu berada dalam kedudukan berbaring.
Walau bagaimanapun, kata Loke terlalu awal untuk menentukan sama ada mangsa, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali yang maut dalam kejadian, sedang tidur ketika kemalangan di landasan berlaku.
Beliau ditemui ketika membentangkan laporan awal kemalangan melibatkan pesawat BD100-1A01 dengan nombor pendaftaran 9M-TST yang boleh dimuat turun di laman sesawang rasmi kementerian pengangkutan.
Turut hadir ialah Ketua Pemeriksaan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Kapten Datuk Yahaya Abdul Rahman dan Inspektor Kemalangan Udara Kolonel Saidey Ahmad.
#Anthony Loke
#Berjaya Air
#buku log
#gantung tugas
#jet peribadi
#juruteknik
#kakitangan MAHB
#kemalangan
#kenderaan MAHB
#langgar
#Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah
#MAHB
#Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali
#pemandu
#pengawal udara
#pesawat