Kemalangan: Kanak-kanak maut, pemandu lori ditahan positif dadah
Adie Sufian Zulkefli
Januari 10, 2024 11:48 MYT
Januari 10, 2024 11:48 MYT
LANGKAWI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut, manakala bapa saudaranya parah setelah motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Chandek Kura, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian jam 5.16 petang itu, Muhammad Wassim Dayyan Amyrul Amry disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM) Langkawi.
Bapa saudara kanak-kanak itu yang berusia 25 tahun menerima rawatan di zon merah hospital sama akibat kecederaan di kepala dan badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 51 tahun dari arah Jalan Batu Belah Batu Bertangkup hendak keluar simpang ke Jalan Chandek Kura.
“Kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15Z dalam perjalanan dari Kuah ke arah Jalan Chandek Kura dipercayai telah melanggar belakang sebelah kanan lori terbabit lalu menyebabkan mereka terperosok di bawah lori itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Shariman berkata, polis telah menahan pemandu lori dan hasil ujian air kencing mendapati pemandu itu positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC).
Pemandu lori itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah.