Kemalangan Jambatan Tembila: Pikap ditemukan, pemandu masih hilang

Astro Awani
Februari 16, 2022 20:17 MYT
Kenderaan mangsa dikesan pada jarak 10 meter dari kenderaan itu dilaporkan terjatuh.- Foto JBPM
BESUT: Sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terjunam ke dalam sungai di Jambatan Tembila di sini pada Rabu telah berjaya ditemukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohamad Jusoh berkata kenderaan tersebut dikesan kira-kira jam 5.15 petang tadi dan mengambil masa lebih satu jam untuk membawa naik dengan bantuan kren.
Bagaimanapun pemandu kereta berkenaan Shukri Wahab, 52, masih belum ditemui.
Jelasnya kenderaan mangsa dikesan pada jarak 10 meter dari kenderaan itu dilaporkan terjatuh.
"Selepas berjaya mengesan objek pasukan penyelam terus melakukan selaman sebelum menemui pacuan empat roda berkenaan pada kedalaman kira-kira empat meter.
"Setakat ini hanya kenderaan mangsa yang ditemui dan usaha mencari mangsa masih giat dijalankan," katanya.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa akan diteruskan menerusi teknik pencarian di permukaan.
Pada Rabu Shukri dilaporkan hilang manakala isterinya terselamat selepas pacuan empat roda yang dinaiki pasangan itu terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Tembila.
Azizah Mohamad Yusof, 51, yang terselamat ditemukan sedang berpaut pada sebatang pokok di tebing sungai.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata ketika kejadian pacuan empat roda itu dipandu dari arah Kelantan menuju ke Kuala Terengganu.
Katanya sejurus tiba di tempat kejadian kenderaan jenis Toyota Hilux berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terlanggar besi penghadang jambatan sebelum terjatuh ke dalam sungai.
#pikap jatuh sungai #Jambatan Tembila #Besut #operasi mencari
;