Kemalangan jalan raya: Kerajaan cadang tambah kamera AWAS
Ridauddin Daud
November 1, 2023 14:14 MYT
November 1, 2023 14:14 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk memasang kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di lokasi yang mempunyai kadar kemalangan tinggi.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata ia bagi mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada ketidakpatuhan kepada peraturan jalan raya khususnya melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju.
“Hal ini disokong dengan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju.
“Isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera tersebut adalah mencecah 99 peratus secara keseluruhannya dan seterusnya telah mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di lokasi penguatkuasaan kamera AWAS,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir (BN - Libaran) mengenai status terkini cadangan bagi menambah dan menggantikan unit kamera AWAS di Dewan Rakyat pada Rabu.
Mengulas lanjut, Hasbi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menambah lebih banyak kamera AWAS namun bukan dalam bentuk seperti yang ada sekarang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, segalanya masih dalam kajian dan kosnya juga belum dapat dikongsikan kepada orang awam.
Begitupun, katanya kos tersebut dapat diketahui dan diumumkan selepas kajian pihaknya selesai.