Kemalangan elak kera: 'Sempat ajar isteri dan ibu mengucap' - Pemandu
Adie Sufian Zulkefli
September 1, 2024 18:00 MYT
September 1, 2024 18:00 MYT
SUNGAI PETANI: "Sejurus kemalangan saya terus keluar kereta mencari isteri, anak bongsu, dan ibu yang terpelanting keluar".
Demikian kata Mohd Fadzil Othman, 27, yang kehilangan isteri Siti Norhasliza Kamarudin, 26, dan ibunya Omi Kalsom Man, 69, dalam kemalangan di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil, di sini pada Sabtu.
Kedua-dua mereka tercampak keluar sejauh beberapa meter dalam kemalangan yang dipercayai berlaku selepas Mohd Fadzil cuba mengelak seekor kera melintas jalan.
Menurut Mohd Fadzil, sebelum kemalangan itu, mereka sekeluarga baru selesai berkelah di Sungai Sedim sempena cuti umum Hari Kebangsaan.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadia dia ternampak seekor kera meluru melintas jalan dan cuba mengelak, mengakibatkan kereta berpusing sebelum terbabas ke dalam longkang.
“Kemudian saya bergegas keluar mencari isteri, yang tercampak hampir lima meter dari kereta dan menemuinya dalam keadaan amat teruk.
“Saya sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan saya.
"Kemudian saya pergi dapatkan emak yang ketika itu dalam keadaan sangat nazak sebelum meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Haji Ngah, Bedong, di sini, pada Ahad.
Menurutnya lagi, dalam kejadian itu anak bongsunya Lufiya Mikhayla, 2, parah di kepala dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Manakala Mohd Fadzil mengalami cedera di tangan dan kaki sementara anak sulung, Luth Mikhael, 3, tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kami bertolak dari rumah pada jam 11 pagi malah sempat menikmati makan tengah hari bersama.
"Isteri dan anak-anak kelihatan seronok ketika mandi di situ sebelum kami pulang pada jam 4 petang," katanya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, dua beranak maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam dalam kemalangan dipercayai ketika cuba mengelak kera melintas di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil, pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 6.12 petang itu, Siti Norhasliza dan Omi Kalsom meninggal dunia di tempat kejadian.