Kemalangan Duke: Netizen luah rasa berang
Shamil Hizamie
Mei 2, 2015 19:35 MYT
Mei 2, 2015 19:35 MYT
Nahas di Lebuhraya Duke pada awal pagi tadi mengorbankan sepasang suami isteri dan bayi mereka yang berusia 7 bulan.
Walau bagaimanapun, dua pemandu kereta Myvi yang dilaporkan menjadi punca kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan selain seorang lagi rakan mereka yang tidak mengalami kecederaan.
Laman Facebook dipenuhi spekulasi bahawa kejadian tersebut berpunca daripada enam kereta Myvi yang sedang sedang berlumba sekitar jam 1 pagi itu.
Laman Twitter pula dibanjiri reaksi dari orang ramai yang berkongsi kesedihan selain mereka yang berang terhadap tragedi itu.
Beberapa pengguna Twitter meratapi nasib ketiga beranak yang terbunuh dengan menyatakan bahawa mereka yang tidak bersalah yang menjadi mangsa.
Segelintir pengguna pula menegaskan bahawa individu yang bertanggungjawab itu perlu mendapat hukuman setimpal.
Para pemandu yang dikatakan tidak bertanggung jawab itu juga mendapat kecaman hebat. Segelintir netizen menyamakan pelumba haram terbabit sebagai pembunuh.
Ada juga yang bersimpati terhadap nasib 2 anak perempuan pasangan berkenaan yang kini menjadi yatim piatu.
Gambar keluarga mangsa kemalangan maut, tiga terbunuh termasuk bayi berusia 7 bulan. - Foto Facebook
Susulan berita dan gambar-gambar kemalangan tersebar meluas di laman sosial, ramai pengguna Facebook melahirkan rasa marah dan ketidak puas hatian mereka terhadap laman Facebook Familia Myvi Club yang didakwa anggotanya terbabit dalam kemalangan itu.
Dalam kejadian itu sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 Lebuhraya Duke.
Mereka ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.
Fairuz yang memandu kenderaan Pajero maut di tempat nahas manakala isteri dan anaknya meninggal di Hospital Kuala Lumpur.