Kemalangan dua treler di lebuh raya, semua lorong arah utara terhalang
Aida Aziz
Mei 2, 2024 12:40 MYT
Mei 2, 2024 12:40 MYT
KUALA KANGSAR: Dua buah treler yang membawa muatan tayar dan bahan kimia terkawal terbabit dalam kemalangan di kilometer (KM) 233.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, hari ini.
Susulan kemalangan itu menyebabkan semua lorong arah utara terhalang dan trafik dilencongkan ke Plaza Tol Kuala Kangsar.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.05 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar kemudiannya digerakkan ke lokasi.
"Kemalangan jalan raya melibatkan dua buah treler. Bagaimanapun tiada mangsa yang tersepit dan cedera.
"Komander operasi kemudian membuat size up dan memantau kawasan kejadian supaya selamat," katanya dalam satu kenyataan.
Operasi dengan kekuatan 10 anggota itu diketuai PBK II Suhairol Fahmi Ishak dan tamat pada jam 10.34 pagi.
Sementara itu, PLUS Malaysia dalam laman Facebook memberitahu status terkini ke utara masih dilencongkan keluar ke Plaza Tol Kuala Kangsar.