Kemalangan di LPT2, pekerja pelantar minyak maut
Astro Awani
Oktober 1, 2018 12:48 MYT
Oktober 1, 2018 12:48 MYT
Seorang pekerja pelantar minyak maut manakala anak dan isterinya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.
Kejadian berlaku di KM343.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran kawasan rawat dan rehat Paka, Dungun, awal pagi Isnin.
Insiden kira-kira jam 6 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Aniq Hakim Rozmi, 22 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Isterinya, Nor Fatiene Rokhman, 24 tahun dan bayinya, Muhammad Adam Rizqi yang berusia 18 bulan mengalami kecederaan ringan.
Ketika kejadian, keluarga itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu menuju ke Kuantan.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Ruzali Omar, seramai enam anggota dikejarkan ke lokasi nahas selepas menerima panggilan pada jam 6.10 pagi.
“Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas dalam masa 10 minit. Mangsa seorang lelaki Melayu dan mengalami kecederaan di kepala. Dua mangsa lagi (isteri dan anak) mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Mayat Muhammad Aniq dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala isteri dan bayinya turut dirawat di hospital yang sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan
#Lebuh Raya Pantai Timur 2
#LPT2
#mayat
#Melayu
#meninggal dunia
#Muhammad Aniq Hakim Rozmi
#Perodua Kelisa