Kemalangan dalam perjalanan belajar agama, seorang lagi warga emas meninggal dunia
Adie Sufian Zulkefli
Mac 31, 2024 18:05 MYT
Mac 31, 2024 18:05 MYT
ALOR SETAR: Mangsa ketiga yang duduk di tempat duduk belakang Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Limau Dalam, Jumaat lalu disahkan meninggal dunia, hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa itu, Faridah Awang Dahaman, 66, menghembus nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kematian mangsa pada jam 5.40 pagi tadi.
"Mangsa beralamat di Pondok Ustaz Fauzi, Yan Kechil disahkan meninggal dunia jam 3 pagi tadi akibat komplikasi pelbagai kecederaan akibat kemalangan.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Jumaat lalu Astro AWANI melaporkan perjalanan tiga sahabat untuk belajar agama di sebuah pusat pengajian pondok berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang dinaiki bertembung sebuah lori muatan ikan di Jalan Sungai Limau Dalam.
Dalam kemalangan jam 11.10 pagi itu, pemandu kereta, Naemah Mohamad, 70, maut di tempat kejadian manakala rakannya Zabidah Bakar, 75, yang duduk di sebelah pemandu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Yan pada hari yang sama.