Kemalangan bas sekolah, tiga murid maut
Astro Awani
Januari 30, 2018 15:36 MYT
Januari 30, 2018 15:36 MYT
Tiga kanak-kanak dan seorang pemandu bas sekolah maut dalam satu kemalangan membabitkan bas sekolah mereka dengan sebuah lori di Jalan Pesisir Bintulu-Miri di Bintulu pagi tadi.
Pemandu bas sekolah, Ramnelan Samar maut di tempat kejadian manakala Nur Nabila Syakila, 9, Aien Laila Aliesha, 11, dan seorang lagi yang belum disahkan identitinya, meninggal dunia di hospital.
Enam orang lagi turut cedera dalam insiden itu.
Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Ketua Balai BBP Bintulu Mohamad Bin Meramit, insiden jam 6.10 pagi itu dipercayai berlaku apabila bas sekolah itu merempuh bahagian belakang lori berkenaan.
"Rempuhan itu telah menyebabkan sembilan murid dan pemandu tersepit. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa telah dilakukan oleh Bomba dengan menggunakan alat-alat menyelamat (rescue tools).
"Kesemua mangsa yang cedera merupakan murid sekolah manakala 14 murid lain dan seorang kelindan didapati selamat," katanya.
Juga selamat ialah pemandu lori yang membawa muatas besi itu.
Kesemua mangsa cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.