Kemalangan bas: Abang terkilan gagal selamatkan adik rentung
Adie Sufian Zulkefli
Mac 17, 2024 15:35 MYT
Mac 17, 2024 15:35 MYT
ALOR SETAR: "Saya amat terkilan gagal menarik keluar adik yang tersepit di tempat duduk pemadu dan hanya mampu menangis melihat dia rentung di depan mata".
Itu luahan M Manivannan, 50, abang kepada M Jayakumar, 48, pemandu bas ekspres yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Gurun, di sini awal pagi Ahad.
Manivannan berkata, ketika itu bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur membawa empat penumpang ke Hatyai, Thailand.
Katanya, bas itu bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 9.30 malam sebelum singgah di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Alor Pongsu.
"Pada mulanya saya yang memandu bas itu sebelum adik saya mengambil alih memandu pada jam 2.30 pagi ketika singgah di Alor Pongsu, Perak.
"Saya kemudian tidur di bahagian belakang bas dan terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan nampak kepulan asap.
"Saya berlari untuk menyelamatkan adik tetapi tidak berdaya kerana dia tersepit. Saya kemudian berlari membuka pintu kecemasan di bahagian belakang bas untuk menyelamatkan penumpang yang lain," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Menurut Manivannan, dia kemudian cuba membantu adiknya yang tidak sedarkan diri sambil menjerit namanya berkali-kali, namun gagal.
"Saya dah cuba berkali-kali untuk keluarkan adik... saya cuba umpil pintu tapi tak boleh. Api terus marak dan membakar keseluruhan bas," katanya.
Menurutnya, adiknya yang tinggal di Selama, Perak dan mempunyai dua anak berusia 14 dan 17 tahun serta seorang isteri, baru tiga bulan bekerja dengannya sebagai pemandu bas.
"Saya menetap di Padang Serai, Kulim bersama emak. Dia anak kelima dari 11 beradik manakala saya pula anak keempat, jadi hubungan kami sangat rapat.
"Sampai sekarang saya masih teringat kejadian itu kerana adik saya terbakar depan mata," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu dipercayai datang dari arah sama menuju ke arah Alor Setar.
"Siasatan awal mendapati bas dipandu mangsa pada mulanya terlanggar bahagian belakang treler berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun.
"Berikutan itu, bas tersebut terbabas, melanggar besi pembahagi jalan sebelah kiri lalu terbakar. Pemandu bas itu dipercayai tersepit di tempat duduknya menyebabkannya gagal menyelamatkan diri," katanya.
Zaidy berkata, terdapat lima lagi individu dalam bas tersebut termasuk pemandu kedua.
Bagaimanapun kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 57 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu kecemasan.
Katanya, ada antara mereka mengalami luka di beberapa bahagian badan termasuk kepala.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.