Kemalangan 3 kenderaan, lebuh raya PLUS sesak 6 kilometer di Tapah

Abd Razak Mohd Ali
September 10, 2021 01:05 MYT
Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah treler berada di lorong kecemasan, manakala lori dan kereta jenis Perodua Bezza berada di lorong kanan. - Gambar/ PDRM
TAPAH: Dua parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 345.1 Lebuhraya Utara-Selatan, yang turut menyebabkan kesesakan teruk lebih enam kilometer dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan kira-kira jam 9.05 malam itu membabitkan sebuah treler membawa mesin pengorek, lori dan kereta.
Menurutnya, polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah treler berada di lorong kecemasan, manakala lori dan kereta jenis Perodua Bezza berada di lorong kanan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler mengalami masalah tayar pecah dan telah berhenti di lorong kecemasan sebelum lori yang membawa makanan sejuk beku dari arah belakang hilang kawalan lalu melanggar treler dan terbalik di lorong kanan,” katanya di sini, malam tadi.
Menurutnya, sebuah kereta dari arah sama kemudian gagal mengelak lalu merempuh lori yang terbalik.
Katanya, pemandu treler berusia 60 tahun dan pemandu kereta berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.
Wan Azharuddin berkata, pemandu lori yang berusia 39 tahun hanya mengalami kecederaan ringan manakala dua penumpang kereta iaitu isteri dan anak pemandu, cedera parah dan dihantar ke hospital.
“Trafik perlahan di lokasi di sebabkan hanya satu lorong sahaja dibuka untuk sementara bagi kerja menyelamat dan pengalihan,” ujarnya.
#Tapah #kemalangan #kesesakan #parah
;