Kemalangan 10 kenderaan: Pemandu lori ditahan, positif dadah

Bernama
September 18, 2024 00:21 MYT
Muatan batu yang dibawa lori berselerakan akibat terlibat dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan di Lingkaran Tengah Seremban pada Rabu. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan 10 kenderaan pada kejadian di Jalan Seremban-Tampin (berdekatan lampu isyarat Taman Bidara) hari ini didapati positif dadah jenis methamphethamine.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohammad Hatta Che Din berkata susulan itu permohonan reman terhadap lelaki berusia 38 tahun itu akan dibuat esok.
"Hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah methamphethamine dan tangkapan dibuat selepas kejadian.," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata dalam kejadian 1.25 tengah hari itu, seorang lelaki berusia 31 tahun maut di lokasi kejadian kerana tersepit dalam kereta jenis Proton Iswara yang dipandunya akibat dihempap lori yang membawa muatan batu gunung.
Selain itu, seorang mangsa wanita berusia 48 tahun dirawat di unit rawatan rapi Hospital Tuanku Ja'afar di sini akibat patah tangan kanan manakala mangsa lain hanya cedera ringan dan telah menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang.
Mohammad Hatta berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan bergerak perlahan dan pada masa sama datang sebuah lori jenis Hino dipandu suspek dari arah Tampin ke Seremban dipercayai telah hilang kawalan
"Lori itu kemudiannya terbabas dan melanggar kenderaan yang berada di hadapannya sehingga menyebabkan kenderaan lain yang berada di situ melanggar satu sama lain," katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#kemalangan 10 kenderaan #pemandu lori #ditahan #positif dadah
;