Kemajuan teknologi perlu disemak pastikan kekuatan TLDM kekal relevan

Bernama
Disember 14, 2023 06:15 MYT
Semasa Eksesais Taming Sari Siri 22 Tahun 2023 yang berlangsung di utara perairan Selat Melaka semalam, dua misil Exocet MM40 dilancarkan oleh kapal KD LEKIU yang berjaya tepat ke sasaran. --fotoBERNAMA
LANGKAWI: Kemajuan teknologi yang berkembang pesat perlu disemak secara konsisten bagi memastikan kekuatan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kekal relevan dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.
TLDM menerusi satu kenyataan semalam berkata berikutan landskap geostrategik yang semakin mencabar ketika ini, pasukan itu memainkan peranan yang sangat penting untuk kekal relevan dalam konteks pertahanan maritim.
"TLDM amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana prihatin mengenai kesiapsiagaannya dari aspek ketersediaan platform, kekuatan tempur dan keberkesanan sokongan logistik.
"Pelaksanaan Eksesais Taming Sari dapat mempamerkan keupayaan kuasa tempur TLDM sekali gus membuktikan bahawa ia masih lagi bertaring di arena pertahanan maritim, kredibel dan mampu mempertahankan kedaulatan perairan negara," katanya.
Eksesais Taming Sari adalah siri latihan penembakan misil oleh aset tempur TLDM bagi menguji keupayaan dan kesiapsiagaan sistem peluru berpandu di kapal serta tahap kompetensi warga tentera laut.
Semasa Eksesais Taming Sari Siri 22 Tahun 2023 yang berlangsung di utara perairan Selat Melaka semalam, sebanyak dua buah misil Exocet MM40 telah dilancarkan oleh kapal KD LEKIU yang berjaya tepat ke sasaran manakala KD LEKIR bertindak sebagai kapal penembak simpanan.
Bekas Menteri Pertahanan yang kini Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan hadir sebagai tetamu khas menyaksikan eksesais itu dari KD MAHAWANGSA yang turut disertai Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak,.
Berkonsepkan "Force Integration Training" (FIT), aspek kebersamaan telah dizahirkan di dalam latihan itu melalui penglibatan sebanyak 14 buah kapal permukaan, lapan bot dan 12 pesawat dari TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Eksesais Taming Sari 22/2023 turut menguji keupayaan semua aset yang terlibat di sampingmemperagakan kehadiran angkatan pertahanan maritim negara di perairan Selat Melaka.
-- BERNAMA
#TLDM #kemajuan teknologi #eksesais taming sari #pertahanan maritim negara
;