Kemajuan fizikal Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1A capai 78 peratus - Nanta

Bernama
November 7, 2024 21:15 MYT
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Status kemajuan fizikal semasa bagi Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A mencapai 78 peratus dan dijadual siap pada suku pertama 2026.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata status kemajuan fizikal semasa bagi LPB Sabah Fasa 1B pula adalah sebanyak 2.4 peratus dengan keseluruhan fasa itu dijadualkan siap pada 2029.
"Fasa 1 dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer (km) dibahagikan kepada 35 pakej kerja di mana 16 pakej kerja di bawah Fasa 1A dan baki 19 pakej kerja di bawah Fasa 1B," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) pula, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata projek SSLR Fasa 1 yang melibatkan jajaran Lawas-persimpangan Long Lopeng mula dilaksanakan sejak Ogos 2021.
"Jajaran projek bermula di Kampung Gelugus, Lawas sehingga persimpangan Long Lopeng dengan anggaran panjang 77 km. Projek kini telah mencapai 40 peratus pelaksanaan di tapak setakat bulan Oktober 2024 dan dijangka siap pada November 2026," katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 79 tempat berteduh penunggang motosikal baharu di sepanjang lebuh raya berjaya disiapkan sepenuhnya pada tahun ini, menjadikan keseluruhan 472 lokasi.
Dalam usaha menjayakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, Nanta berkata sebanyak 30 poin pengecas kenderaan elektrik tambahan juga akan disediakan di 12 lokasi strategik di sepanjang lebuh raya menjadikan keseluruhan yang disediakan sehingga kini sebanyak 90 poin pengecas.
-- BERNAMA
#Lebuh Raya Pan Borneo #Sabah #Fasa 1A #Alexander Nanta Linggi
;