Kemahiran teknologi tinggi, inovatif dibawa ke luar bandar melalui PEDi - MCMC

Irfan Faruqi
November 28, 2023 22:18 MYT
PEDi memastikan keterangkuman akses kepada teknologi maklumat untuk semua rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pusat Ekonomi Digital (PEDi) membolehkan pengetahuan dan kemahiran teknologi tinggi serta inovatif dikongsikan kepada penduduk bandar.
Ketua Bahagian Transformasi dan Koordinasi Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bukhari Yahya berkata, ini bagi memastikan keterangkuman akses kepada teknologi maklumat untuk semua rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan.
“Di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kita ada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang ada program-program yang boleh dibawa ke PEDi, yang berteknologi tinggi.
“Walaupun pengguna berada di kampung, mereka bersedia untuk menerima kerja-kerja yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Kita akan dapat lihat pembangunan ekonomi setempat akan merangkumi semua aspek yang diperlukan untuk mereka berhadapan dengan dunia tanpa sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Tambahnya, PEDi mempunyai kelebihan tersendiri dalam usaha meningkatkan literasi digital bagi penduduk luar bandar memandangkan pusat tersebut mempunyai akses internet yang lebih baik.
Menurut Bukhari, selain daripada melaksanakan pemindahan kemahiran teknologi digital kepada penduduk luar bandar, PEDi juga merupakan usaha untuk melahirkan masyarakat berdaya saing dan berinovasi.
“Daripada itu, program-program yang kita garap di PEDi ini, yang akan menjadikan masyarakat setempat itu lebih berdaya saing dan berinovasi.
“Bersedia menghadapi segala keperluan pada masa akan datang. Dari segi literasi teknologi maklumat, kemahiran untuk laksanakan tugas secara dalam talian dan sebagainya,” katanya lagi.
Kemahiran teknologi tinggi, inovatif dibawa ke luar bandar melalui PEDi - MCMC
#MCMC #PEDi #ekonomi digital #literasi digital
;