Kemahiran teknikal mengikut standard industri tingkatkan kebolehpasaran siswazah
Bernama
Oktober 23, 2022 08:30 MYT
Oktober 23, 2022 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Siswazah dengan kemahiran teknikal mengikut standard industri semasa lebih mudah untuk menempatkan diri dalam sektor tenaga kerja yang kini menyaksikan persaingan sengit, kata pakar sumber manusia.
Ketua Pegawai Eksekutif GKK Consultants Sdn Bhd Dr Gajendra Balasingham berkata ini akan membuatkan golongan berkenaan yang memiliki kepakaran dan pengetahuan dalam bidang perniagaan serta pendidikan memiliki kebolehpasaran yang tinggi.
"Ia lebih-lebih lagi apabila syarikat mahukan tenaga kerja yang mampu bekerja tanpa perlu banyak pengawasan bermula daripada hari pertama bekerja lagi," katanya kepada Bernama pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara GKK dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.
Menerusi MoU ini, GKK akan melatih serta mempersiapkan siswazah UniMAP dengan pengetahuan dan kemahiran berinteraksi dalam sektor tenaga kerjaya yang semakin mendesak kini.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Profesor Dr Zaliman Sauli berkata universiti itu merancang untuk memberi tumpuan secara menyeluruh kepada kebolehpasaran siswazah sekali gus akan meningkatkan peluang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
"Pertamanya kita akan bermula dengan siswazah muda daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrikal dan Teknologi. Mereka akan dipersiapkan dengan pengetahuan menyeluruh dan kemahiran mendalam yang diperlukan dalam bidang yang spesifik. Ini bagi memenuhi tuntutan dan kebolehpasaran tenaga kerja hari ini," katanya.
Menjadi harapan UniMAP untuk melahirkan jurutera berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi dan menyokong Pelan Induk Perindustrian Negara.
Berkerjasama rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi, matlamat GKK dan UniMAP adalah untuk melahirkan golongan profesional yang kuat dan berkemahiran sekali gus dapat memenuhi permintaan tenaga kerja Malaysia serta keperluan spesifik dalam industri terpilih.
Kumpulan pertama yang akan dilatih iaitu kira-kira 50 orang, akan memulakan sesi mereka tidak lama lagi.
"Selalunya, siswazah muda ini kurang pengalaman yang diperlukan, sedangkan kebanyakan majikan tidak mempunyai sumber, masa atau skim pengurusan latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerja mereka," kata Gajendra.
Latihan dan persediaan seumpama itu penting untuk mengurangkan kadar penggangguran 3.9 peratus atau 649,000 pada Mei lepas mengikut perangkaan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Bagaimanapun, mengikut perangkaan terbaharu oleh Trading Economic kadar penggangguran di negara ini mencatatkan penurunan yang memberangsangkan iaitu 3.7 peratus pada Ogos lepas.
-- BERNAMA