Kelulusan eksport bakal rancakkan industri beras Sarawak
Fadilah Sulaiman
November 7, 2020 19:53 MYT
November 7, 2020 19:53 MYT
KUCHING: Sarawak mempunyai pelbagai padi istimewa yang dihasilkan secara organik serta berkualiti tinggi.
Bagaimanapun permintaan terhadapnya dalam kalangan penduduk tempatan rendah berbanding di luar Sarawak khususnya di Semenanjung Malaysia.
Penduduk Sarawak pula lebih cenderung memilih beras import susulan bekalannya yang mencukupi dan mudah diperoleh selain harga yang lebih rendah.
Namun Pengarah Urusan Antares Ventures Sdn Bhd, Brendan Kon melihat perkara ini dari sudut berbeza.
Bagi Brendan, jika pasaran luar lebih tinggi, fokus kepadanya perlu diberi keutamaan dengan merencana strategi bersesuaian.
Justeru Brendan berharap produk padi Sarawak akan dapat kelulusan untuk dieksport bagi meluaskan dan merancakkan lagi pasaran dan penghasilannya.
“Kami percaya untuk tingkatkan permintaan adalah pasaran dari luar macam Semenanjung Malaysia dan luar negara.
“Jika permintaan tinggi ia akan meransang petani untuk menanam lebih banyak hasil tani.
“Sekarang boleh tanam tapi tiada pasaran. Jadi kami akan wujudkan permintaan kemudian barulah kita boleh meningkatkan permintaan,” katanya.
Menurut Brendan, perkara itu jika dilaksanakan akan memanfaatkan petani luar bandar untuk tingkatkan pendapatan serta taraf hidup.
Di samping itu produk padi istimewa Sarawak akan dapat diteruskan untuk diusahakan generasi muda dan pada masa sama akan menjamin bekalan makanan yang mencukupi untuk negeri itu.
Mengulas mengenai Pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat, Brendan tertarik dengan pelaksanaan Projek Pertanian Organik yang disifatkannya penting dalam menggalakkan rakyat memilih gaya hidup sihat.
“Saya berasa sangat bersyukur kerajaan bagi satu bajet untuk menghasilkan penanaman organik.
“Makanan organik ini memang sangat penting untuk generasi sekarang dan generasi yang akan datang kerana sekarang trend untuk makan makanan yang sihat,”ujar Brendan.