Kelulusan Belanjawan 2021 penting untuk ekonomi Sarawak - Penganalisis
Nickyson Nyambar
November 26, 2020 20:10 MYT
November 26, 2020 20:10 MYT
KUALA LUMPUR : Langkah untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Peringkat Dasar) atau Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat disifatkan amat penting untuk memacu kembali ekonomi Sarawak.
Menurut Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma, kelulusan tersebut menjadi titik kesinambungan untuk pihak kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunannya merangkumi pelbagai sektor dan bidang.
Ujar beliau, peruntukan dalam Belanjawan 2021 akan memberi manfaat besar kepada golongan sasar, industri Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) serta projek pembangunan di luar bandar negeri itu.
“Kesan kepada kelulusan bajet ini penting. Apabila kita melihat kepada peruntukan yang digariskan dalam Belanjawan 2021, sebahagian besar daripadanya adalah untuk pembangunan rakyat.
“Sebagai contoh, vulnerable group atau rakyat yang terancam. Kebanyakan mereka berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Banyak di antara mereka masih terlibat dalam sektor tradisional dan sektor tidak formal. Jadi dengan kelulusan bajet ini, ia akan memberi ruang kepada mereka menikmati segala bentuk bantuan yang telah diluluskan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Ujarnya, perkara ini sekali gus merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. Seterusnya, hubungan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Melihat pada sisi pelaburan pula, kata beliau langkah meluluskan belanjawan ini memainkan peranan penting kerana memberi gambaran berkenaan kestabilan negara terutama kepada pelabur luar.
“Ini antara bajet yang begitu kritikal kerana dapat memperlihatkan sokongan rakyat kepada kerajaan yang memerintah ketika ini.
“Sekiranya ditolak, maka bajet ini melambangkan ketidakyakinan terhadap kerajaan sedia ada. Perkara ini bukan satu perkara yang baik kerana pelabur sukakan kestabilan,” tambahnya.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Awang Azman Awang Pawi pula melihat impak belanjawan yang diluluskan kali ini sebagai gambaran dalam kepekaan pemimpin terhadap keperluan rakyat.
“Senada dengan kepelbagaian yang ada, ternyata wakil rakyat atau Ahli Parlimen di negara kita khususnya dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) peka dengan keperluan sentimen rakyat.
“Yang mana keperluan mereka di dalam konsep pembangunan dan kesejahteraan itu dikekalkan dan dipertahankan.
“Di bawah konsep politik, perkara ini penting untuk memperoleh kepercayaan rakyat di masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam AWANI Sarawak pada Khamis.
#Belanjawan 2021
#Ekonomi Sarawak
#Ekonomi rakyat semasa pandemik
#COVID-19
#luar bandar Sarawak
#Penganalisis ekonomi
#Datuk Dr Madeline Berma
#penganalisis politik
#Prof Awang Azman Awang Pawi