Keluarkan duit sendiri beli bot bantu mangsa banjir
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 29, 2021 12:07 MYT
Oktober 29, 2021 12:07 MYT
PENDANG: Sanggup keluarkan duit poket untuk beli enjin dan bot demi membantu mangsa banjir.
Sikap anak muda dari Kampung Alor Ali di sini, memang harus dipuji kerana sanggup menjadi sukarelawan semata-mata untuk membantu memindahkan mangsa banjir.
Mohd Hazwan Ahmad Fuzi, 29, berkata, dia mengeluarkan belanja sebanyak RM2,000 untuk mendapakan bot fiber setahun lalu sementara enjin yang menelan kos RM1,500 pula dibeli tahun ini.
Hasrat murni jurukimpal ini hanya satu untuk membantu memudahkan kerja pasukan penyelamat kerana dia yang juga penduduk asal di situ lebih arif dengan laluan di kampung berkenaan.
"Saya tolong pindahkan penduduk yang terperangkap dalam banjir ke tempat selamat hanya sukarela dan tidak meminta bayaran kerana yang penting selamatkan nyawa dan harta benda dulu.
"Kalau hujan lebat saja saya buat persediaan dan tolong mana-mana penduduk yang hampir dengan sungai kerana bimbang air akan naik tinggi," katanya ketika ditemui Astro AWANI hari ini.
Menurut Mohd Hazwan, paras air banjir kali ini agak tinggi dan sudah lebih seminggu penduduk di kampung terjejas ekoran bencana itu.
Katanya, sejumlah penduduk sudah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah manakala sebahagian lagi menumpang di rumah saudara yang berhampiran.
"Tapi ada juga yang minta saya tolong hantarkan ke rumah yang masih ditenggelami air untuk mengambil barangan atau dokumen penting selain hendak melihat keadaan rumah mereka, saya tolong saja.
"Namun, saya perlu berhati-hati kerana paras air hampir sama dengan paras sungai selain bahaya yang kita tidak nampak seperti tunggul kayu atau bahagian dalam dan bimbang untuk turun sekiranya bot tersangkut," kata Mohd Hazwan lagi.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, sikap tanggungjawab dan keprihatinan yang ditunjukkan Mohd Hazwan sangat dipuji.
Bahkan, kata Yuslina, pihaknya mengalu-alukan lebih ramai orang awam membantu agensi kerajaan terutama dalam kerja penyelamatan dan pemindahan mangsa banjir.
Katanya, nyawa penduduk lebih utama untuk diselamatkan sebelum anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) tiba.