Keluarga wanita maut dipijak gajah trauma, rayu tangkap dan pindah gajah segera

Norfarhiza Mohd Atar
Disember 7, 2022 17:44 MYT
Basir Gelahok (kanan, baju merah) menerima sumbangan daripada wakil Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas kejadian isterinya, Wak Angkat a/p Yk Tong maut dipijak gajah liar semalam. - Foto Astro AWANI
LIPIS: Kejadian amukkan gajah sehingga meragut nyawa wanita Orang Asli di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di sini pada awal pagi Selasa memberi kesan buruk terhadap keluarga mangsa yang kini masih dalam keadaan trauma.
Basir Gelahok, 50, berkata, kejadian malang yang meragut nyawa isteri tercinta Wak Angkat Yok Tong, 39, akibat dipijak gajah liar pada pukul 4 pagi itu turut menimbulkan ketakutan dalam kalangan ahli keluarga serta penduduk kampung.
"Kejadian yang menakutkan saya pagi semalam (Selasa) amat menyedihkan dan tidak di sangka-sangka kawanan gajah ini mengganggu kediaman kami sehingga isteri saya, Wak Angkat menjadi mangsa dipijak haiwan tersebut.
"Sejak kematian isteri saya juga penduduk di sini sangat takut dan masih terkejut serta masing-masing tidak dapat tidur sehingga ke pagi kerana bimbang gajah akan datang semula," katanya di Kampung Simoi Baru, Pos Betau dekat sini hari ini.
Bapa kepada tujuh cahaya mata itu juga meminta Jabatan Perlindungan Hidpan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak segera memindahkan haiwan liar tersebut ke tempat lain.
Tragedi | Wak Angkat Yok Tong maut dipijak gajah
Menurutnya, sekiranya haiwan liar itu tidak dipindahkan ke tempat lain atau sebarang tindakan pengusiran berkemungkinan ramai lagi Orang Asli yang akan berdepan risiko keselamatan.
"Kawanan gajah liar kerap menceroboh ke kawasan kampung untuk mencari makanan seperti pokok pisang, tebu dan tanaman lain dan penduduk cuma menghalau sahaja, kemudian haiwan itu lari masuk semula ke hutan dan waktu malam kembali masuk ke kampung.
"Jadi memang patut kerajaan memindahkan gajah liar ini, kalau tidak kami akan kerap berdepan ancaman kemungkinan lebih ramai lagi Orang Asli akan menjadi mangsa," jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Amin Cangak, 30-an berkata, selepas kejadian semalam, kehidupan mereka dihantui ketakutan dan bimbang untuk keluar bekerja di kebun pisang dan menoreh getah.
"Kita juga merancang untuk berpindah, tetapi di mana tempat lagi untuk menetap kerana kawasan ini merupakan tanah milik ibu bapa dan moyang Orang Asli sejak tinggal di sini lebih 20 tahun lalu.
"Bukan sahaja kampung ini terancam, tetapi penempatan Orang Asli yang lain kerap diganggu gajah liar yang menceroboh untuk mencari makanan dan kadang-kadang bertukar agresif apabila dihalau," katanya.
Tambahnya, langkah yang terbaik, iaitu kerajaan dan Perhilitan perlu memindahkan gajah liar itu ke kawasan rehabitilasi bagi mengelakkan ancaman berterusan khususnya membabitkan nyawa penduduk Simoi Baru dan kampung berdekatan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, kejadian pencerobohan gajah liar di Kampung Simoi Baru semalam bukanlah perkara baharu malah pernah berlaku di Kampung Simoi Lama dan beberapa perkampungan Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Betau, Ulu Jelai daerah ini.
Ramli berkata, berasaskan aduan penduduk sejak dua bulan lalu kawanan gajah liar itu sering menceroboh kawasan kampung di Pos Lenjang dan Pos Betau untuk mencari makanan.
"Menerusi aduan penduduk, haiwan liar ini lebih agresif apabila turut memusnahkan rumah penduduk berkenaan pada waktu malam dan masing-masing bertindak lari keluar untuk menyelamatkan diri.
"Boleh dikatakan setiap malam, penduduk Orang Asli keluar berjaga mengawasi kehadiran kawanan gajah liar berkenaan kerana dikhuatiri membahayakan nyawa keluarga mereka," katanya yang dipetik menerusi laman sosial Facebook Ramli Mohd Nor.
Justeru, katanya usaha perlu dilakukan segera oleh pihak Perhilitan dengan memantau pergerakan gajah liar itu dan memindahkan ke pusat konservasi di tempat lain untuk mengelakkan ancaman berterusan yang boleh merosakkkan harta benda dan nyawa manusia.
#gajah mengamuk #Kampung Simoi Baru #wanita maut #Orang Asli
;