Keluarga ucap terima kasih kepada lelaki selamatkan mangsa culik

Bernama
Julai 17, 2013 23:28 MYT
Keluarga pemuda yang diculik dan dibogelkan menyatakan penghargaan tinggi Rabu kepada seorang penunggang motosikal yang telah menyelamatkan mangsa itu Isnin lepas.
Mangsa Ng Mun Tat, 21, seorang penganggur dilaporkan ditemui di KM4.5 Lebuh Raya Duke berhampiran susur masuk ke Setiawangsa dalam keadaan bogel dengan badannya diconteng pada hari tersebut.
Abang ipar mangsa, Mak Wui Weng, 29, memberitahu sidang media di sini keluarganya sangat berterima kasih pada seorang penunggang motosikal berbangsa Melayu yang sanggup menyelamatkan Ng yang pengsan di tepi jalan selepas berjaya melepaskan diri dari kawalan penculiknya.
Mak berkata walaupun pada tubuh adik iparnya ada tulisan "SAYA HINA AGAMA ISLAM" pemuda itu sanggup membawa adiknya ke balai polis berhampiran.
Beliau berkata adik iparnya pengsan di tepi lebuh raya itu selepas dipukul dan dipaksa menghidu gam oleh para penculiknya dan tulisan yang didakwa menghina Islam itu telah diconteng pada tubuh adik iparnya semasa diculik.
Oleh itu, beliau mengadakan sidang akhbar pada hari ini bagi membersihkan nama Ng yang gambarnya tersiar di halaman facebook dengan paparan tulisan di badannya yang boleh mencetuskan kemarahan orang Islam.
Ng yang masih kelihatan lemah dengan kesan bengkak di muka dan matanya memberitahu wartawan beliau bukan pengguna aktif facebook dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau komen yang menghina Islam.
Menceritakan kembali kejadian, Ng berkata beliau dibawa keluar oleh dua lelaki dari sebuah restoran di Taman Seri Muda Shah Alam pada pukul 4.30 pagi semasa sedang minum bersama teman wanita serta seorang rakannya dan diculik dengan sebuah kenderaan.
Kemudian beliau yang ditutup matanya dibawa ke sebuah pangsapuri dan dipukul sementara seorang penculik menghubungi abang iparnya untuk meminta wang tebusan sebelum dibawa ke beberapa buah bank untuk mengeluarkan wang menggunakan mesin ATM.
Bagaimanapun, para penculik gagal mengeluarkan wang menggunakan mesin ATM kerana Ng tidak ingat nombor pin kad ATMnya.
Mak berkata selepas penculiknya gagal mengeluarkan wang dari mesin ATM, adik iparnya dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit yang tidak diketahui di mana.
Di sana Ng dipukul lagi, dipaksa menghidu gam serta ditelanjangkan dan tubuhnya diconteng dengan perkataan "SAYA HINA AGAMA ISLAM" supaya adik iparnya takut melarikan diri kerana perkataan yang diconteng boleh menimbulkan kemarahan orang Islam.
Mak berkata Ng berjaya melarikan diri ketika kumpulan penculik terbabit sedang khayal menghidu gam.
Laporan sebuah akhbar hari ini berkata empat lelaki telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes culik Ng.
#culik #mangsa #ng mun tat