Keluarga terima keputusan laporan akhir nahas Elmina

Bernama
Ogos 16, 2024 21:00 MYT
Dalam kejadian 17 Ogos tahun lepas, pesawat Beechcraft Model 390 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang mengorbankan 10 nyawa. - Gambar fail/Bernama
SUNGAI PETANI: Keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, tahun lepas menerima keputusan laporan akhir tragedi itu yang dikeluarkan hari ini.
Muhamad Salleh Othman, 58, bapa kepada Allahyarham Muhamad Hafiz, 32, yang merupakan penunggang p-panggilan yang maut dalam tragedi berkenaan berkata dia masih berasa sedih, namun reda dengan apa yang berlaku.
"Saya sering terbayang wajahnya biarpun sudah setahun berlalu, kematiannya secara mengejut, amat sukar untuk diterima, namun kami reda, semuanya sudah tertulis.
"Selepas ketiadaan arwah, saya dapat dua orang cucu...perempuan dan lelaki...cucu lelaki saya yang berusia 10 bulan, Shah Haidar, seiras sangat dengan arwah...itulah jadi pengubat rindu saya pada arwah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Sidam Kiri, di sini hari ini.
Sebagai memperingati setahun pemergian arwah anaknya, Muhamad Salleh mengadakan kenduri tahlil dan bacaan Yasin di rumah mereka hari ini.
Sementara itu, Muhamad Salleh menyatakan bahawa dia tidak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung nahas terbabit.
Dalam kejadian 17 Ogos tahun lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang mengorbankan 10 nyawa iaitu lapan penumpang (enam penumpang dan dua anak kapal penerbangan) serta seorang pemandu e-panggilan dan seorang penunggang motosikal (p-panggilan).
Terdahulu, laporan yang dimuat naik di laman web Kementerian Pengangkutan hari ini menyatakan nahas terbabit disahkan berpunca daripada kehilangan kawalan semasa penerbangan disebabkan masalah protokol yang tidak disengajakan.
Laporan akhir yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati punca utama kemalangan itu ialah peluasan secara tidak sengaja daripada 'lift dump spoilers' yang berkemungkinan besar dilakukan oleh juruterbang semasa melakukan pemeriksaan sebelum pendaratan.
Tindakan itu menyebabkan kehilangan daya angkat secara tiba-tiba, seterusnya mengakibatkan kehilangan kawalan yang dahsyat sehingga berlakunya nahas.
-- BERNAMA
#pesawat terhempas #nasib keluarga #hasil siasatan #nahas Elmina