Keluarga tawar ganjaran RM50,000 jika temui Akmal
Sinar Harian
April 3, 2023 17:33 MYT
April 3, 2023 17:33 MYT
KLUANG: "Sudah hampir dua bulan anak saya hilang, namun kami sekeluarga tidak pernah berputus asa untuk mencarinya selain terus berdoa agar Akmal selamat," kata Ishak Kamis, 58.
Ishak merupakan bapa kepada Muhammad Akmal Hakimi, 20, yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar, Mersing.
Menurut Ishak, ganjaran sebanyak RM50,000 turut ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menemui anaknya itu.
"Saya dan isteri Saniah Bidin, 53, serta anak sulung, Muhammad Mirza Qusyari, 26, sentiasa berusaha mencari Akmal yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.
"Selepas sahaja operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan kami sekeluarga masih di Pulau Mawar untuk mencari Akmal.
"Malah dua hari sebelum tibanya Ramadan, saya bersama Mirza ke Pulau Mawar untuk mencari Akmal," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Selain itu, Ishak berkata, beberapa sukarelawan dan pengamal perubatan Islam dari Kuala Lumpur turut menawarkan diri membantu mencari Akmal.
"Setakat ini, memang tiada petunjuk baharu tentang kehilangan Akmal tetapi saya tetap berharap agar Akmal dapat ditemui.
"Saya pernah bermimpi Akmal berada di belakang saya dan kemudian hilang. Begitu juga dengan Mirza yang bermimpi Akmal beritahunya jangan sedih," katanya yang tinggal di Taman Makmur, Kluang.
Ishak memberitahu kehilangan tanpa berita anak tersayang menyebabkan Ramadan kali ini dilalui dalam keadaan suram.
"Akmal ada meminta ibunya memasak lemak tempoyak beberapa hari sebelum dia dilaporkan hilang di Pulau Mawar.
"Terima kasih kepada pihak yang membantu usaha pencarian Akmal sehingga kini, terutama penduduk kampung berdekatan Pulau Mawar," katanya.
Akmal merupakan penuntut penuntut jurusan kejuruteraan marin Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Lumut Perak sedang menjalani cuti semester dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar, Mersing pada 1 Februari lalu.
Polis kemudiannya menerima laporan berkaitan penemuan motosikal dipercayai milik mangsa dalam keadaan baik dan tidak berkunci di kawasan berhampiran Pulau Mawar kira-kira 11.30 pagi pada 3 Februari lalu dan melancarkan SAR jam 5 petang pada hari sama.
Operasi SAR membabitkan anggota dari polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Daerah Mersing, malim gunung dan penduduk.
Pada 9 Februari, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, SAR melibatkan pelbagai agensi dan aset itu ditamatkan selepas enam hari dijalankan ekoran tidak menemukan petunjuk walaupun pencarian melibatkan kawasan darat dan perairan telah dilakukan. -- Sinar Harian