Keluarga sepakat kebumikan mangsa kemalangan di New Zealand

Bernama
Disember 7, 2019 22:15 MYT
Tiga beranak yang maut dalam kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, pada Jumaat.
Keluarga kepada tiga beranak yang maut dalam kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, semalam, sepakat untuk mengebumikan jenazah di negara berkenaan.
Kejadian yang berlaku pada 3.01 petang waktu tempatan itu, telah mengorbankan Dr Rumihati Abd Hamid, suaminya Adnan Jeman, masing-masing berusia 49 tahun dan seorang anak perempuan pasangan itu manakala dua lagi mangsa sedang menerima rawatan lanjut.
Mengesahkan perkara itu, Zaiton, 61, yang merupakan kakak kepada Allahyarham Dr Rumihati berkata abangnya, Othman, kini dalam perjalanan ke New Zealand untuk menguruskan pengebumian.
"Adik saya, suami dan tiga anak perempuannya yang berusia 15, 13 dan 11 tahun bertolak ke New Zealand untuk bercuti pada 2 Dis lepas dan dijangka kembali ke Malaysia pada 17 Dis ini.
"Arwah merupakan anak bongsu daripada lapan beradik dan kali terakhir saya bertemu mereka pada Isnin lepas," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga itu di Kampung Ulu Putatan, di sini pada Sabtu.
Zaiton berkata abangnya, Othman yang menerima khabar sedih itu meminta mereka reda kerana kemalangan itu turut mengorbankan seorang anak saudara mereka.
Bagaimanapun, sehingga kini mereka belum dapat mengetahui identiti anak saudara yang terkorban itu.
"Saya ingat hanya adik saya dan suaminya, rupanya anaknya juga tapi siapalah yang terbabit itu, kami tidak tahu," katanya yang tidak dapat menahan tangisan.
Zaiton berkata sebelum bertolak Dr Rumihati meminta mereka mengisi borang pemeriksaan kesihatan dan biasanya mereka akan pergi ke rumahnya yang tinggal berhampiran dengan rumah keluarga mereka, selepas pasangan itu berpindah dua tahun lepas.
Zaiton berkata kebiasaannya Dr Rumihati akan bercuti setiap hujung tahun malah arwah juga pernah membawanya bercuti ke Jepun, Beijing dan Hong Kong sebelum ini.
"Anak-anak arwah sangat rapat dengan anak-anak saya sebab saya yang menjaga anak-anaknya," katanya yang menyifatkan arwah seorang yang manja.
-- BERNAMA
#Kaikoura #mangsa kemalangan #maut kemalangan #New Zealand #rakyat Malaysia #rakyat malaysia maut
;