Keluarga sehelai sepinggang, rugi RM200,000 akibat kebakaran

Astro Awani
Februari 26, 2019 00:23 MYT
Kebakaran itu hampir memusnahkan dua lagi rumah berhampiran namun api berjaya dikawal.
Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan kerugian hampir RM200,000 apabila kediaman mereka hangus dalam satu kebakaran di Kampung Tayor Tengah, Sungai Tong, Setiu kira-kira jam lima petang Selasa.
Menurut mangsa, Zaleha Abdullah, 66 tahun, kebakaran disedari anaknya, Azni Ismail, 43 tahun selepas melihat asap tebal dan bergegas memberitahunya yang sedang berada di kebun.
Zaleha berkata, ketika kejadian ahli keluarga lain berada di Kota Bharu.
Antara yang musnah termasuk barang kemas miliknya yang dianggarkan bernilai RM30,000, wang tunai RM2,000, sebuah kereta Proton Saga, motosikal jenis Yamaha RXZ dan peralatan rumah serta pakaian.
“Tak ada, tak ada selamat satu apa pun. Motor anak sempat bawa lari sebuah,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Roziman Mohd Amin berkata, 17 anggota dari Balai Bomba Kuala Nerus dan Setiu tiba 32 minit kemudian selepas menerima panggilan pada jam 5 petang.
Sejurus tiba dilokasi, pihaknya mendapati kebakaran telah memusnahkan 90 peratus kediaman terbabit.
Api dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh 20 minit.
Menurut Mohd Roziman, kebakaran itu hampir memusnahkan dua lagi rumah berhampiran namun api berjaya dikawal.
“Semasa tiba di tempat kejadian pasukan bomba mendapati rumah kediaman berukuran 30x60 telah terbakar hampir 90 peratus dan kita telah berjaya menyelamatkan bangunan berhampiran hanya mengalami lima peratus kebakaran sahaja,” katanya.
Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
#Azni Ismail #enam sekeluarga #hangus #Kampung Tayor Tengah #kebakaran #Setiu #Sungai Tong #Zaleha Abdullah
;